Ahli politik mati ditembak

Ahli politik mati ditembak

MIRI, 21 Jun (Bernama) – Setiausaha PKR Bahagian Miri, Bill Kayong mati ditembak semasa berhenti di lampu isyarat berhampiran pasar raya E-mart, di Kuala Baram pagi tadi.

Ketua Jabatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar M. M. Sree Shunmugam mengesahkan kejadian itu serta meminta saksi yang melihat kejadian tersebut agar tampil memberi maklumat.

Beliau berkata persimpangan lampu isyarat di tempat kejadian itu kebiasaannya sentiasa sibuk dan oleh itu mungkin ramai pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian tersebut.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang motif kejadian.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis telah menubuhkan pasukan khas yang diketuai oleh SAC Dev Kumar dan akan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, untuk menyiasat kes pembunuhan tersebut.

Kayong, 43, seorang mualaf, merupakan calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu, mati ditembak kira-kira 8:30 pagi tadi ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat tersebut.

“Kita percaya mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Senadin dan menuju ke pejabatnya di Permyjaya,” kata Dave Kumar.

Beliau berkata polis mengklasifikasi kes tersebut sebagai bunuh. Kayong juga merupakan Setiausaha Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) yang memperjuangkan kebajikan masyarakat Dayak.

Sementara itu PEDAS yang terkejut dengan pembunuhan Kayong pagi tadi, mahu polis segera mencari pelakunya. Presiden PEDAS, Kapten Collin Imran Abdullah berkata, Kayong merupakan seorang yang cepat mesra serta komited dalam menjalankan aktiviti sosial bagi masyarakat Dayak.

“Sepanjang mengenali mangsa (Bill), dia tak ada memusuhi sesiapa pun,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Collin berkata tahun lepas Kayong pernah memberitahu mengenai panggilan telefon yang diterimanya supaya beliau jangan mencampuri urusan berkaitan isu tanah.