Ahli PPNBD sertai forum belia

Ahli PPNBD sertai forum belia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Okt – Perkembangan dan latihan kepimpinan pengakap khususnya belia-belia pengakap yang memerlukan kesinambungan berterusan dalam menghadapi cabaran global iaitu masalah sosial dan kepimpinan masa kini amatlah perlu diutamakan.

Sehubungan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) menghantar tiga orang ahli Pengakap Kelana iaitu dua sebagai perwakilan rasmi PPNBD, Dayang Liyana binti Salleh dan Dayang Nurul Mardhiah binti Zainudin, kedua-duanya merupakan pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), dan seorang lagi sebagai pemerhati, Dayang Nurul Wardah binti Haji Hamzah, pelajar Institut Teknologi Brunei (ITB) bagi mengikuti Forum Belia Pengakap ke-8 Rantau Asia Pasifik yang berlangsung di Suncheon Asia-Pacific Regional Scout Center, Suncheon, Cholla-Namdo, Korea Selatan bermula 29 Oktober hingga 2 November.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada delegasi PPND di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, ialah Naib Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Awang Abu Bakar bin Haji Awang Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Ketua Pegawai Eksekutif, Pegawai Eksekutif Pengakap, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap serta keluarga peserta yang mewakili PPNBD.

Forum lima hari anjuran Pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Korea Scout Association itu bermatlamat bagi memberi pengetahuan dan pengalaman serta pendedahan yang berguna kepada bakal-bakal pemimpin pengakap yang terdiri daripada belia-belia pengakap mengenai kemantapan dan kepentingan latihan serta kemahiran yang berterusan di dalam kegiatan berpengakap di negara masing-masing.

Haji Awang Abu Bakar dan Haji Awang Badar bersama peserta Forum Belia Pengakap.
Haji Awang Abu Bakar dan Haji Awang Badar bersama peserta Forum Belia Pengakap.

Selain itu, ia juga menjadi landasan untuk mereka bertukar-tukar maklumat dalam kalangan lebih 100 orang peserta dari 26 buah negara di Rantau Asia Pasifik yang menghadiri forum tersebut.

Tiga topik utama akan dibincangkan sepanjang forum belia ini dijalankan iaitu ‘The Social Impact of Growth’, ‘Growth Towards Youth Empowerment’ dan ‘Inter-generation dialogue between young people and adult’.

Selain itu, pemilihan ahli Jawatankuasa Belia Pengakap Rantau Asia Pasifik bagi tahun 2015 – 2018 juga akan dijalankan dalam kalangan peserta forum.

Di akhir sesi forum, peserta akan membentangkan cadangan-cadangan semasa forum ini dijalankan.

Ia juga memberi peluang kepada para peserta untuk lebih berkeyakinan dalam kemahiran membuat keputusan di peringkat pengakap kebangsaan.

Di samping itu, peserta akan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Suncheon.

ARTIKEL YANG SAMA