Ahli PPNBD turut berjunjung ziarah

Ahli PPNBD turut berjunjung ziarah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Dalam kemeriahan menyambut kehadiran bulan Syawal 1436 Hijrah, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan mengambil kesempatan bersama ribuan penduduk untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja yang lain sempena Majlis Istana Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Istana Nurul Iman, hari ini.

Lebih 200 ahli pengakap yang terdiri daripada para pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, pegawai eksekutif pengakap, pemimpin pasukan, ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja, Pengakap Kelana, Pengakap Udara dan Pengakap Laut dari seluruh negara telah mengunjungi Majlis Istana Terbuka berkenaan.

Turut sama ialah Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali serta enam Pemimpin Pengakap Laut daripada Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Daerah Miri.

Selepas kunjungan ke Majlis Istana Terbuka, rombongan berkenaan kemudian mengadakan kunjungan ke rumah terbuka Yang Dipertua PPNBD dan rumah terbuka Ketua Pesuruhjaya Pengakap.

Ahli Pengakap bergambar ramai bersama Dato Paduka Ar. Haji Idris di Majlis Rumah Terbuka Yang Di-pertua PPNBD.
Ahli Pengakap bergambar ramai bersama Dato Paduka Ar. Haji Idris di Majlis Rumah Terbuka Yang Di-pertua PPNBD.

ARTIKEL YANG SAMA