Ahli PRS SMSAB kendali Pasar Amal

Ahli PRS SMSAB kendali Pasar Amal

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Ahli-ahli Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB), kelmarin, telah mengadakan Pasar Amal (Ass-Souq Al-Majani) sebagai salah satu aktiviti khidmat masyarakatnya, di bawah bimbingan Jabatan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya.

Perasmian pasar amal berkenaan telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah / Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor, selaku tetamu kehormat majlis.

Pasar amal ini diilhamkan untuk memberi peluang kepada para penyumbang untuk berkongsi pelbagai sumber bermanfaat kepada semua khususnya kepada penuntut-penuntut sasaran iaitu penuntut yang mendapat bantuan sama ada bantuan tabung kebajikan penuntut sekolah atau penuntut penuntut miftahun najaah dan anak yatim.

Sumbangan barang-barang terpakai yang masih elok, barang makanan kering atau tin dan keperluan rumah, serta wang tunai (yang akan digunakan untuk membeli keperluan rumah atau makanan yang sesuai) yang telah dikumpulkan di majlis itu diterima daripada warga sekolah dan orang perseorangan.

Para penuntut sasaran mendapatkan barangan sumbangan secara percuma.
Para penuntut sasaran mendapatkan barangan sumbangan secara percuma.
Gambar ramai ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai jemputan daripada Unit Kaunseling dan Kerjaya bersama tetamu kehormat.
Gambar ramai ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai jemputan daripada Unit Kaunseling dan Kerjaya bersama tetamu kehormat.

Antara objektif acara ini adalah bagi melatih ahli-ahli PRS dengan sifat dan sikap kepimpinan, memupuk sikap tolong-menolong, bekerjasama sesama ahli dan melaksanakan tugas yang diamanahkan secara sistematik dan teratur, selain itu ia juga sebagai salah satu kaedah untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.