Ahli saintis bangun kebun ubat

Ahli saintis bangun kebun ubat

SYDNEY, 14 Okt – Para ahli sainstis Australia sedang mencipta ubat yang mengandungi tumbuhan yang diubahsuai secara genetik untuk merawat penyakit yang mengancam nyawa termasuklah barah, diabetes, penyakit jantung dan HIV.

David Craik dari Universiti Queensland, dan Marilyn Anderson dari Universiti La Trobe berkata ‘bio-ubat’, harganya akan kurang mahal, lebih berkesan dan mempunyai kesan sampingan yang sedikit daripada ubat farmaseutikal.

“Usaha kami adalah menemukan peptida, iaitu protein kecil daripada tumbuhan, dan kemudian cuba untuk membentuknya semula sebagai ubat generasi akan datang,” Craik memberitahu Radio ABC hari ini.

“Misalnya kami mempunyai ubat barah prostat utama yang boleh kami masukkan ke dalam biji bunga matahari supaya orang tidak semestinya perlu menelan pil atau kapsul tetapi boleh mengambil ubat barah prostat sebagai sebahagian pemakanan mereka,” ujarnya.

“Dengan demikian ia membukakan seluruh dunia baru bagi kemungkinan penghantaran ubat.”

Craik berkata ia boleh mempunyai kelebihan besar bagi dunia yang sedang membangun. Jangka hayat di Tanzania hari ini ialah kurang 40 tahun, kerana HIV, AIDS, kata Craik lagi.

“Dan itu bukan kerana kita tidak mempunyai ubat yang bagus untuk itu. Hanya di sana tidak ada kemampuan.”

Para ahli sains berharap akan menghasilkan tumbuhan yang mengandungi bio-ubat anti HIV, yang boleh ditanam di taman dan membuat teh darinya.

Pada teorinya, ia boleh menjadi sesuatu yang boleh merevolusikan rawatan HIV, misalnya di Afrika, ujarnya lagi. “Jika teori ini menjadi realiti, orang ramai akan dapat menanam ubat mereka sendiri,” kata Anderson pula.

“Dan kelebihan ialah kita tidak perlu menyimpannya dalam peti ais, tidak perlu disuntikkan, dan boleh semudahnya dibawa.”

Percubaan bio-ubat ke atas manusia dijangkakan bermula dalam tempoh 10 tahun, bermula dengan ubat bagi penyakit barah dan kesakitan, ujar mereka. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA