Ahli saintis temui spesies baru tikus di Indonesia

Ahli saintis temui spesies baru tikus di Indonesia

JAKARTA, 6 Okt (AFP) – Para penyelidik yang bekerja di Indonesia telah menemui satu spesies mamalia baru yang digelar tikus hidung babi, dinamakan sempena ciri-cirinya yang ahli saintis katakan tidak pernah dilihat sebelum ini.

Makhluk itu ditemui di kawasan pergunungan terpencil di pulau Sulawesi di tengah Indonesia, menurut ahli-ahli saintis Muzium Victoria Australia yang terlibat.

Tikus berkenaan yang nama saintifiknya Hyorhinomys stuempkei, mempunyai ciri-ciri “tidak pernah dilihat oleh sains sebelum ini,” menurut kenyataan muzium yang disiarkan hari ini.

Penemuan itu dilakukan oleh sepasukan saintis dari Indonesia, Australia dan Amerika Syarikat.

Selain memiliki hidung besar berwarna merah muda yang leper, dengan muncung hidung ke depan yang serupa dengan hidung babi, makhluk itu mempunyai telinga cukup besar, mulut kecil dan gigi hadapan yang putih panjang, menurut muzium berkenaan.

Dalam foto rodensia itu kelihatannya bersaiz kira-kira seekor tikus normal.

“Saya sungguh hairan yang kami boleh berjalan di dalam hutan dan menemui spesies baru mamalia yang sesungguhnya berlainan daripada mana-mana spesies…yang pernah didokumenkan oleh sains,” kata Kevin Rowe, seorang saintis dari Muzium Victoria yang terlibat dalam penyelidikan itu.

Mamalia itu karnivor dan kemungkinan memakan cacing tanah dan berangga.

Penemuan itu dibuat di utara Sulawesi, dengan ahli saintis dibawa masuk ke kawasan pergunungan dan hutan dara oleh penduduk tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA