‘Ahli sihir’ maut dibunuh penduduk

‘Ahli sihir’ maut dibunuh penduduk

GUWAHATI, India – 21 Julai – Seorang wanita berusia 63 tahun dicederakan dan dipenggal kepalanya oleh para penduduk bersenjatakan parang yang menuduhnya mengamalkan ilmu sihir, menurut polis hari ini.

Tujuh orang sudah diberkas berhubung kematian Moni Orang, ibu lima anak yang diculik dari rumahnya di negeri Assam selepas para sami setempat berkata dia mengamalkan ilmu sihir.

“Kumpulan penyerang bersenjatakan parang datang ke kampung itu lalu menculik Moni Orang dari kediamannya dan kemudian membunuhnya dengan kejam,” pegawai kanan polis Manabendra Dev Roy memberitahu AFP.

“Dia dipenggal kepalanya dan sebahagian badannya dicederakan dengan teruk.”

Pada hari ini para penduduk kampung menyerbu ke balai polis tempatan untuk membantah penahanan tersebut.

“Moni seorang ahli sihir dan mengenakan sihir ke atas musuhnya,” kata seorang penduduk Kiran Teronpi melalui siaran televisyen tempatan.

“Tiada tempat untuk ahli sihir seperti beliau dan pembunuhan beliau adalah amat wajar sekali.”

Suami mangsa R. Orang berkata isterinya “wanita tidak bersalah” dan menuduh sami bersikap “wasangka dan provokasi”.

Mempercayai ilmu sihir masih menebal di kalangan sebahagian penduduk kawasan suku kamum di India. Dalam sebahagian kes kaum wanita yang disyaki mengamalkan ilmu sihir dibogelkan, dibakar hidup-hidup atau dihalau dari rumah dan dibunuh.

Sebahagian negeri termasuk Jhar-khand sudah pun memperkenalkan undang-undang khas untuk cuba mengekang jenayah ke atas orang yang dituduh menjadi ahli sihir. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA