Ahli SUKA dihargai

Ahli SUKA dihargai

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 9 Ogos – Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA), semalam, telah mengadakan majlis ramah mesra dan malam penghargaan ahli-ahli SUKA yang berlangsung di Ibu Pejabat SUKA, Jalan Sungai Basong, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku Pengerusi SUKA.

Menurut Setiausaha dan Ketua Urus Setia SUKA, Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali selaku pengerusi majlis, semenjak penubuhannya, SUKA telah berjaya mengendalikan dua program Perkampungan Sukarelawan dan kini telah pun mempunyai seramai 80 orang ahli yang terdiri daripada penduduk yang tinggal di Daerah Tutong dengan lingkungan usia 14 ke 70 tahun.

Sesuai dengan penubuhannya, ahli-ahli SUKA didedahkan kepada berbagai-bagai aktiviti yang mampu memberikan manfaat kepada mereka seperti berpeluang menimba Ilmu, kemahiran dan juga pengalaman, sebagai platform pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan sahsiah.

Selain itu, ahli-ahli juga didedahkan kepada sosialisasi dan kemasyarakatan, melatih diri untuk melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas, jujur dan amanah, serta menyediakan platform untuk mengongsikan kepakaran, kemahiran dan kebolehan yang ada dalam bidang masing-masing dan berpeluang menyumbangkannya kepada masyarakat.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong selaku Penasihat SUKA menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong selaku Penasihat SUKA menyampaikan sijil penghargaan kepada ahli-ahli.

Majlis pada malam itu turut menyaksikan tayangan video bertajuk ‘SUKA Merentas Zaman’ yang memperlihatkan aktiviti-aktiviti SUKA yang lebih menjurus kepada acara-acara dan majlis rasmi, misi kemanusiaan, kerja-kerja kemasyarakatan, perekonomian, keagamaan, sukan, keselamatan dan pendidikan serta Program Perkampungan SUKA.

Baru-baru ini, SUKA telah memperkenalkan Program Sumbang dan Bantu yang mula dilancarkan pada awal Januari 2016 sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Program ini telah mendapat perhatian orang ramai, yang mana ketika ini SUKA telah pun menerima lebih 6,000 helai pakaian dan telah pun menyerahkan lebih 4,000 helai kepada yang memerlukan.

Bagi memantapkan sistem penyaluran sumbangan kepada yang memerlukan, SUKA telah pun menjalinkan rangkaian kerjasama dengan agensi-agensi yang berkenaan dengan mengadakan acara-acara kemasyarakatan seperti ‘Bantu, Senyum dan Terima kasih’.

Gambar ramai ahli SUKA pada majlis ramah mesra dan penghargaan itu.
Gambar ramai ahli SUKA pada majlis ramah mesra dan penghargaan itu.

Sebagai penghargaan, ahli-ahli yang aktif dan terlibat dalam menjalankan aktiviti-aktiviti SUKA telah diberikan sijil penghargaan. Mereka ialah Awang Muhammad Azmi bin Haji Mat Zain, Haji Ariffin bin Abdullah dan isteri, Haji Metamit bin Haji Mat Zain @ Haji Tengah dan isteri, serta Dayang Siti Nur Nabilah Hidayatullah Asimah Faris binti Idris.

Penganugerahan Sijil Penghargaan SUKA ini adalah berdasarkan penilaian yang dibuat oleh kumpulan penilai yang terdiri daripada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi SUKA mengikut kriteria seperti menunjukkan komitmen yang tinggi sebagai ahli SUKA, menyumbangkan jasa bakti ke arah kemajuan dan kelangsungan SUKA, menjadi contoh kepada ahli SUKA serta mempunyai daya tahan dan semangat jitu dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dan sentiasa komited melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti SUKA.

Dengan adanya penganugerahan sijil itu nanti, ia akan dapat memberikan galakan semangat dan sokongan kepada ahli-ahli lama dan baru yang mengikuti dalam sama-sama melaksanakan tugas dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti SUKA.

Penyampaian sijil-sijil penghargaan pada majlis itu telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

ARTIKEL YANG SAMA