AHMM bincang ancaman Zika

AHMM bincang ancaman Zika

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Dalam Persidangan Video Khas Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) mengenai Ancaman Virus Zika di rantau ini, hari ini, satu persepakatan telah dicapai dalam mengukuhkan kerjasama kesihatan untuk mempromosi tindakan kolektif sebagai persediaan serantau, pengawasan dan tindak balas kepada penyakit berjangkit yang baru muncul dan muncul semula termasuk penyakit Zika.

Mesyuarat anjuran Kementerian Kesihatan Awam Thailand hari ini dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Brunei Darussalam, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Dalam ucapan Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata, melibatkan diri dengan komuniti untuk menggalakkan kebersihan alam sekitar, kesihatan, kesejahteraan serta menggalakkan tanggungjawab bersama untuk kesihatan adalah urusan semua orang, dan merupakan cara paling berkesan menangani ancaman kesihatan awam seperti penyakit virus Zika dan lain-lain penyakit yang baru muncul dan muncul semula.

Sidang video itu juga membincangkan situasi global dan serantau virus Zika, pendekatan pengurusan strategik untuk kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN seperti pengawasan, pencegahan, kawalan, komunikasi awam, persediaan dan tindakan menangani virus berkenaan di rantau ini.

Di samping itu, AHMM juga mengeluarkan kenyataan bersama antara lain menegaskan kesediaan rantau ini bertindak balas terhadap penyakit virus Zika dan lain-lain penyakit menerusi keberkesanan pelaksanaan strategi dan langkah-langkah yang terbaik untuk keselamatan kesihatan dan kesejahteraan semua orang.

Strategi itu termasuk pengukuhan pengawasan dan penilaian risiko penyakit dengan sokongan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO); mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menguruskan risiko virus Zika; mendedahkan risiko sedemikian dengan sewajarnya; serta perkongsian dan penjanaan pengetahuan.