Aidiladha bawa mesej suci

Aidiladha bawa mesej suci

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, Aidiladha yang juga dipanggil sebagai Hari Raya Korban telah membawa mesej khusus dan suci tentang pengorbanan.

Titah Baginda, pengorbanan adalah satu perkara yang tidak mudah dilakukan, kecuali oleh orang-orang yang istimewa, yang memiliki ‘jiwa besar’ dan keimanan sahaja.

“Ini dapat dikesan dari peristiwa berkorban oleh Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ke atas anakanda Baginda, Nabi Ismail ‘Alaihissalam. Bayangkanlah, bapa menyembelih anak, tidakkah ini satu pekerjaan yang sangat-sangat berat dan mencabar?

“Namun oleh sebab keimanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap Allah, maka Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam telah sanggup melakukannya.

“Demikianlah peranan iman itu. Ia menentukan segala-galanya, termasuk kesediaan untuk berkorban,” titah Baginda dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara malam ini.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha. – Infofoto
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha. – Infofoto

Menurut Baginda, berkorban di sini, meliputi pengorbanan dalam bentuk jiwa raga dan harta-benda. Pengorbanan dalam bentuk jiwa raga itu adalah termasuk juga melakukan ibadat-ibadat dan lain-lain ketaatan terhadap Allah.

“Melakukan ibadat dan lain-lain ketaatan itu, tidak syak lagi, adalah merupakan satu pengorbanan. Ia dilakukan dengan jiwa raga yang padat dengan keyakinan dan kesabaran. Tanpa keyakinan dan kesabaran, ibadat tidak mungkin dapat ditegakkan.

“Kita dapat menyaksikan, berapa ramai orang yang tidak komited dengan ibadat dan lain-lain amal taat. Ini semua tandanya, mereka itu tidak sanggup berkorban untuk Allah atau bagi Allah.

“Mengapa tidak sanggup berkorban ini? Jawabnya, kerana ketiadaan iman di dada.”

Baginda seterusnya bertitah, orang yang tidak yakin adalah orang yang tidak ada padanya ‘kekuatan dalaman’, dan manakala kekuatan dalaman itu tidak ada, maka sukarlah bagi seseorang untuk melakukan ‘kerja-kerja besar’.

Ibadat kepada Allah adalah kerja besar malah paling besar. Ia memerlukan kesabaran dan pengorbanan. Sebagai contoh kita ambil saja ibadat sembahyang.

“Ia adalah kerja paling besar dan malah paling berat, sebagaimana Allah telah menerangkan dalam Surah Al-Baqarah Ayat 45, tafsirnya: “… Sesungguhnya ibadat sembahyang itu amatlah berat (untuk ia dilakukan), kecuali oleh orang-orang yang khusyuk”.

“Manakala kita umat Islam ini, berjaya melaksanakan satu-satu ibadat kepada Allah, maka ertinya, kita telah pun berkorban untukNya, dan pengorbanan itu pasti akan dibalas dengan ganjaran pahala. Apa jua jenis ibadat dan amal soleh adalah ia bersifat pengorbanan.

“Oleh itu, dengan mengambil semangat dari Hari Raya Korban ini, marilah kita sama-sama berazam untuk terus melakukan pengorbanan terhadap Allah berupa pelaksanaan ibadat-ibadat kepadaNya.”

Baginda bertitah, pengorbanan melalui ibadat adalah pengorbanan paling suci yang menjanjikan kebahagiaan di akhirat. Kerana itu, sambil kita ‘berkorban sunat’ dengan menyembelih binatang, marilah kita berkorban juga melalui pelbagai ibadat lain, khasnya ibadat-ibadat wajib.

“Semoga dengan pengorbanan kita itu, Allah Subhanahu Wata’ala akan meredai kita selaku hamba-hambaNya yang soleh.

“Kita usah lupa, bahawa semua ibadat adalah dituntut, terpulang kepada kita sama ada hendak memenuhi tuntutan itu ataupun tidak. Jika kita mahu memenuhinya, bererti kitalah hamba yang patuh, sementara jika tidak, maka kitalah hamba yang bernama ‘pembantah.’

“Kedua-dua golongan ini jelas berbeza. Nun di akhirat kelak, mereka pasti akan menerima nasib masing-masing, berdasarkan janji Allah yang tidak pernah dimungkiriNya.

“Beta mengambil kesempatan di sini, untuk merafa’kan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana para jama’ah kita di Tanah Suci Mekah telah terselamat daripada musibah kren tumbang yang menimpa Masjidil Haram baru-baru ini. Kepada saudara-saudara kita daripada kalangan ahli keluarga mangsa-mangsa pula, kita mengucapkan takziah, supaya mereka itu membanyakkan bersabar. Ke atas mereka yang terkorban pula, kita mendoakan semoga roh-roh mereka dilimpahi rahmat Allah Subhanahu Wata’ala,” titah Baginda.

Pada mengakhiri titah, Baginda dan keluarga Baginda dengan hati yang jernih mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Adiladha kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam, semoga kita sama-sama beroleh kebahagiaan dan perlindungan daripada Allah SWT.

ARTIKEL YANG SAMA