Aidiladha meriah dalam kesederhanaan

Aidiladha meriah dalam kesederhanaan

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Hari Raya Aidiladha dalam kesederhanaan namun meriah dengan penuh rasa kesyukuran serta semangat pengorbanan.

Cuaca baik di kebanyakan tempat pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya berjemaah diikuti ibadah korban, yang merupakan keistimewaan Aidiladha secara bergotong-royong di masjid, surau, kampung dan kawasan perumahan.

Jalan raya di ibu negara lengang berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha.

Namun Masjid Negara dipenuhi kira-kira 13,000 umat Islam termasuk warga asing memenuhi ruang untuk menunaikan solat Hari Raya dan mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Syaikh Ismail dalam khutbah Aidiladha bertajuk ‘Erti Sebuah Pengorbanan’ menyeru umat Islam untuk sentiasa meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan-Nya.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tingkatkan ketakwaan kepada Allah dan umat Islam juga harus lakukan perkara yang sama bagi mendapat keredaan-Nya,” katanya.

Syaikh Ismail juga turut memuji tindakan Nabi Ibrahim yang menzahirkan sifat cinta beliau terhadap penciptanya.

“Ganjaran Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim tiada bandingannya atas segala pengorbanan beliau kepada Allah kerana sifat taatnya,” tambahnya.

Syaikh Ismail kemudian mengakhiri khutbah dengan memberi peringatan kepada umat Islam agar tidak terlibat dengan mana-mana militan pengganas.

“Kumpulan Daesh bukanlah suatu cara untuk perjuangkan agama Islam kerana ia tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA