Aidiladha pada 24 Sept

Aidiladha pada 24 Sept

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam, dengan ini mengumumkan bahawa awal bulan Zulhijjah bagi tahun 1436H jatuh pada Selasa, 1 Zulhijjah bersamaan 15 September 2015.

Oleh yang demikian, Hari Raya Korban Aidiladha 1436H jatuh pada Khamis, 10 Zulhijjah 1436H bersamaan 24 September 2015.

Sehubungan itu, sembahyang sunat Hari Raya Aidiladha akan diadakan di semua masjid, surau dan balai ibadat di negara ini pada hari tersebut bermula jam 7.30 pagi.

Penglihatan anak bulan Zulhijjah 1436H telah dilakukan oleh hakim-hakim Syar’ie dan beberapa orang pegawai Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara bersama pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Mufti Kerajaan di beberapa tempat yang ditentukan di negara ini, petang ini.

Ketua Hakim Syar’ie telah mengesahkan dan mensabitkan bahawa anak bulan Zulhijjah 1436H telah tidak nampak dilihat. Maka berdasarkan hukum syarak, disebabkan anak bulan Zulhijjah 1436H telah tidak sabit dilihat, bulan Zulkaedah wajiblah digenapkan 30 hari.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad (tiga kanan) bersama tetamu khas yang lain semasa Majlis Keagamaan Merukyah Awal Bulan Zulhijjah 1436, kelmarin.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad (tiga kanan) bersama tetamu khas yang lain semasa Majlis Keagamaan Merukyah Awal Bulan Zulhijjah 1436, kelmarin.

Majlis Ibadah Korban akan bermula selepas sembahyang sunat Aidiladha sehinggalah hari-hari tasyrik 11 hingga 13 Zulhijjah 1436H.

Sementara itu, KHEU, hari ini, telah mengadakan acara Keagamaan Merukyah Awal Bulan Zulhijjah 1436 Hijrah yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan KHEU.

Acara itu diadakan bagi sama-sama menunggu hasil penglihatan anak bulan Zulhijjah 1436H dari tempat-tempat yang ditentukan iaitu Bangunan Ibu Pejabat DST, Tungku Link; Bukit Agok, Jerudong; Bukit Ambok, Tutong dan Bukit Lumut, Belait.

Hadir sama bagi menyerikan majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Acara keagamaan itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh wakil Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Membaca Al-Quran Antarabangsa ke-32 di Republik Islam Iran 2015, Awang Shahrin bin Haji Matnor.

Ini diikuti dengan persembahan Tausyeh dibawakan oleh pegawai dan kakitangan Pusat Dakwah Islamiah yang diketuai oleh Awangku Rafiuddin bin Pengiran Badaruddin. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, KHEU, Haji Mohd Sahri bin Haji Sulaiman.

Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang juga diimamkan oleh Haji Mohd Sahri.

ARTIKEL YANG SAMA