Aidilfitri bersama ahli-ahli PAKATAN

Aidilfitri bersama ahli-ahli PAKATAN

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 2 Ogos – Lebih 150 orang ahli Persatuan Bekas Kakitangan Kerajaan Daerah Tutong (PAKATAN) telah menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PAKATAN yang diadakan di Dewan Utama, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, petang tadi. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohd Taha bin Abdul Rauf selaku Penasihat PAKATAN.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Masjid Kampung Penanjong, Haji Mohd Kartolo bin Haji Abang, dan diteruskan dengan persembahan nyanyian lagu rasmi PAKATAN dan lagu Hari Raya oleh ahli-ahli PAKATAN wanita.

Kemudian, majlis diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan Yang Di-Pertua PAKATAN, Dato Paduka Haji Ahmad bin Kadi yang menjelaskan bahawa sambutan berkenaan merupakan perjumpaan tahunan bagi merayakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Menurutnya lagi, sambutan tersebut merupakan tanda kesyukuran mereka kerana berjaya menunaikan ibadah puasa sebulan di samping PAKATAN berjaya melaksanakan aktiviti keagamaan iaitu membaca Al-Quran sehingga khatam.

Pemangku Pegawai Daerah Tutong bersama para tetamu lain yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya PAKATAN di Dewan Utama, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong bersama para tetamu lain yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya PAKATAN di Dewan Utama, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Melalui Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan ini juga, beliau berharap akan dapat membaharui semangat silaturahim dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian derma untuk Tabung Anak-anak Yatim Daerah Tutong yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua PAKATAN kepada tetamu kehormat majlis. Derma tersebut adalah hasil sumbangan daripada ahli-ahli PAKATAN khusus kepada Tabung Anak-anak Yatim Daerah Tutong.

Majlis diserikan lagi cabutan bertuah dan beberapa aktiviti menarik seperti pertandingan menganyam ketupat, kuiz nyanyian solo tiga orang dan persembahan nasyid.

ARTIKEL YANG SAMA