Aidilfitri bersama pesakit jantung

Aidilfitri bersama pesakit jantung

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Pusat Jantung Hospital Gleneagles JPMC tidak ketinggalan mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri dengan turut disertai kira-kira 220 peserta pemulihan jantung yang lama dan yang baru bersama keluarga dan para kakitangan Pusat Jantung Gleneagles.

Wakil Pusat Jantung, Hospital Gleneagles JPMC, Hajah Norlila binti Haji Buang dalam ucapannya berkata, selain untuk mengeratkan hubungan silaturahim, acara ramah mesra tersebut juga menjadi landasan untuk para peserta bertukar fikiran dan maklumat untuk membantu antara satu sama lain khususnya cara-cara untuk meneruskan proses rehabilitasi supaya dapat diteruskan bukan saja semasa program di hospital tetapi di rumah juga.

Di samping itu, ia juga bagi menggalakkan anggota keluarga untuk membantu dan mengambil berat tentang jadual temu janji para peserta semasa program ini dan teruskan memberi sokongan dan dorongan supaya para peserta dapat menjalani aktiviti program seperti biasa.

Menurut Hajah Norlila, tujuan rehabilitasi/pemulihan jantung adalah untuk mengembalikan atau memulihkan keadaan pesakit secepat mungkin supaya dapat kembali aktif seperti sebelum sakit dan dapat meneruskan kehidupan dan gaya hidup yang berkualiti.

“Program rehabilitasi kardiak ini juga bertujuan untuk mengurangi kesan fisiologi dan psikososial dari penyakit jantung; menurunkan risiko serangan jantung yang mendadak atau berulang; mengendalikan gejala penyakit jantung dan mengenal dan menangani faktor risiko-risiko penyakit jantung,” jelas beliau.

Antara para tetamu dan pesakit jantung yang berkesempatan bergambar ramai di Majlis Aidilfitri itu.
Antara para tetamu dan pesakit jantung yang berkesempatan bergambar ramai di Majlis Aidilfitri itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para peserta agar patuh dengan nasihat/kaunseling yang diberikan oleh para doktor, jururawat, pakar pemakanan, fisioterapi dan kakitangan yang terlibat dalam program ini dan bersungguh sungguh serta serius menanganinya.

Sementara itu, Dato Paduka Haji Yusra bin Haji Abd Halim selaku wakil peserta rehabilitasi kardiak dalam ucapannya turut berkongsi pengalaman beliau semasa rawatan dan bagaimana beliau menjalani aktiviti rehabilitasi kardiak selama ini.

Beliau turut merakam terima kasih kepada kerajaan yang membantu dan membiayai kesemua kos rawatan mereka serta menyarankan semua peserta mendisiplinkan diri dan patuh pada nasihat yang diberi dalam usaha untuk mengembalikan kesihatan dan dapat memanfaatkan kehidupan dengan sebenar.

ARTIKEL YANG SAMA