Aidilfitri di Kg Mata-Mata

Aidilfitri di Kg Mata-Mata

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Majlis Perundingan Kampung Mata-Mata dan Jawatankuasa Takmir serta Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong, kelmarin, telah mengadakan Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi Kampung Mata-Mata Gadong yang berlangsung di kawasan rumah Ketua Kampung Mata-Mata, Gadong, Haji Metali bin Haji Kamis.

Di majlis tersebut, seramai 26 orang warga emas diraikan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati bagi mengenang jasa mereka terhadap kampung tersebut dan seterusnya penyampaian cenderahati kepada lapan orang anak yatim dan bantuan kebajikan kepada tiga orang penduduk kampung berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan cenderahati kepada para penerima ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Tahamid bin Haji Nudin.

Majlis turut diserikan dengan beberapa persembahan oleh Belia Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong.

Yang Berhormat Haji Tahamid menyampaikan cenderahati kepada warga emas.
Yang Berhormat Haji Tahamid menyampaikan cenderahati kepada warga emas.
Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong bergambar ramai.
Muslimah Balai Ibadat Kampung Mata-Mata Gadong bergambar ramai.

Majlis yang julung-julung kali diadakan itu telah melibatkan semua institusi di kampung tersebut dengan tujuan meningkatkan jalinan persaudaraan dan silaturahim serta keceriaan sesama penduduk kampung, di samping dapat menanamkan sikap prihatin dan pemedulian terhadap warga emas dan anak-anak yatim serta mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan.

Selain itu, majlis tersebut juga dapat menggalakkan budaya masyarakat tolong-menolong, kerjasama dan rasa tanggungjawab serta mendorong penduduk kampung dalam sama-sama memberi komitmen dalam menanai kesejahteraan hidup bermasyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA