Aidilfitri mampu kukuhkan semangat persaudaraan – Musa Aman

Aidilfitri mampu kukuhkan semangat persaudaraan – Musa Aman

KOTA KINABALU, 16 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata perayaan Aidilfitri mampu mengukuhkan lagi semangat persaudaraan sesame umat Islam dan seluruh lapisan rakyat di negara ini, khususnya di Sabah.

Beliau berkata semangat persaudaraan serta perpaduan dapat diperkukuhkan menerusi amalan ziarah-menziarahi rumah terbuka.

“Justeru, sempena Hari Raya Aidilfitri ini, marilah kita saling bermaaf-maafan bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi juga saudara mara dan sahabat handai,” katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.

Musa berkata walaupun Sabah dianugerahi dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan, rakyat dapat hidup dalam keadaan rukun, aman, harmoni dan saling hormat-menghormati yang membolehkan negeri ini membangun dengan pesatnya.

“Bagaimanapun, kebelakangan ini ada pihak cenderung memainkan isu-isu tertentu untuk menggugat keamanan dan keharmonian. Dalam hal ini, kita perlu bersatu dengan tidak membenarkan mana-mana pihak merosakkan keamanan demi memenuhi agenda mereka,” katanya.

Musa juga melahirkan kesyukuran kerana Sabah kini mampu mencatat pertumbuhan berterusan melalui pelaksanaan pelbagai program bagi meningkatkan ekonomi rakyat di seluruh negeri ini.

Beliau turut menekankan kepada penjawat awam di negeri ini supaya sentiasa menyokong dan menjadi tulang belakang terhadap program dan perancangan kerajaan termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Katanya kerajaan akan terus berusaha meningkatkan infrastruktur, mengurangkan kadar kemiskinan dan memastikan rakyat mendapat akses pendidikan terbaik bagi melahirkan pekerja mahir dan berpengetahuan demi mencapai aspirasi menjadi sebuah negeri berdaya saing di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Menyentuh isu keselamatan, Musa berkata kerajaan memahami perasaan serta kebimbangan rakyat, justeru, beliau memberi jaminan kerajaan negeri dan persekutuan sedang giat bekerjasama memantap dan meningkatkan aspek keselamatan terutama di pantai timur Sabah.

Mengenai tragedi gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda negeri ini pada 5 Jun lepas sehingga mengorbankan 18 orang termasuk kanak-kanak dan rakyat dari negara luar, Musa merakamkan ucapan takziah kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Beliau turut kagum semangat berpasukan dan kerjasama semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan malim gunung yang bergabung tenaga dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa, selain keprihatinan orang awam memberi sumbangan kepada mangsa terjejas banjir lumpur susulan daripada gempa bumi itu.

Kerajaan negeri akan sentiasa memantau keadaan itu, di samping menumpukan usaha memperbaiki kawasan terjejas serta memulihkan semula sektor pelancongan, dan yakin semua cabaran itu akan mampu diatasi, kata Musa. – Bernama