Aidilfitri ‘Taman Zen’ DST

Aidilfitri ‘Taman Zen’ DST

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Syarikat telekomunikasi DST turut tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini dengan mengadakan Pejabat Terbuka Korporat Hari Raya yang diadakan di Pusat Lukisan JIS, Sekolah Antarabangsa Jerudong, di Tungku Link, hari ini.

Lebih 1,400 jemputan pelanggan korporat swasta dan kerajaan dari pelbagai industri dijemput ke majlis berkenaan termasuk Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong yang juga selaku Pengerusi Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah, dan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Hadir sama ialah Pengerusi DST, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Junaidi bin Masri dan Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

Turut hadir mengalu-alukan kedatangan para jemputan ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Suhaimi bin Hussain.

(Dari kiri ke kanan) Awang Junaidi, Awang Suhaimi Hussain, Yang Berhormat Pehin (Dr.) Haji Awang Abu Bakar, Dato Paduka Haji Bahrin, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew, Awang Abdul Latif dan Rino Donosepoetro.
(Dari kiri ke kanan) Awang Junaidi, Awang Suhaimi Hussain, Yang Berhormat Pehin (Dr.) Haji Awang Abu Bakar, Dato Paduka Haji Bahrin, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Amin Liew, Awang Abdul Latif dan Rino Donosepoetro.

Sambutan Hari Raya DST tahun ini membawa tema ‘Taman Zen’, yang menampilkan dekorasi elegan Jepun, seperti hiasan bunga Sakura dan tumbuh-tumbuhan, air panjut dengan latar belakang taman Zen yang digabungkan dengan dekorasi Hari Raya Aidilfitri.

Bagi memeriahkan lagi suasana, muzik orkestra turut dipersembahkan dengan lagu-lagu Hari Raya dan irama yang menenangkan fikiran.

Dari segi sajian pula, para jemputan dihidangkan dengan makanan-makanan antarabangsa dan tempatan termasuk dari Jepun, Itali, Melayu dan antarabangsa lainnya.

Para jemputan berpeluang untuk bergambar di pondok yang disediakan.
Para jemputan berpeluang untuk bergambar di pondok yang disediakan.
Suasana tema ‘Taman Zen’ memeriahkan lagi keadaan Pejabat Terbuka DST.
Suasana tema ‘Taman Zen’ memeriahkan lagi keadaan Pejabat Terbuka DST.

Pondok masakan langsung juga disediakan oleh restoran Fratinis, Mulaut BBQ, Kitaro Japanese Restaurant dan Baba Rafi Turkish Kebab. Penolong Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni berkata, “Majlis Pejabat Terbuka DST yang diadakan setiap tahun ini menjadi majlis dan pengalaman indah bagi kakitangan DST dan pihak berkepentingan, rakan kongsi dan pelanggan Korporat”.

Menurut beliau, inilah peluang untuk bertemu dan memberi mereka layanan mesra yang boleh memperkukuhkan dan meningkatkan hubungan erat antara satu sama lain.

“Setiap tahun kami menghargai hubungan yang dibina menjadikan DST hari ini dan bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-20, ia adalah peluang baik untuk kita semua meraikan kejayaan terutama bersama pelanggan dan rakan kongsi yang telah menyokong kita semua pada tahun-tahun sebelumnya,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA