Aidilfitri TelBru hargai pelanggan, kakitangan

Aidilfitri TelBru hargai pelanggan, kakitangan

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Telekom Brunei Berhad (TelBru) telah mengadakan Majlis Rumah Terbuka di dua tempat berasingan untuk para klien dan pihak berkepentingan di Dewan I Tarindak D’Seni, di Jalan Kota Batu, kelmarin, serta bagi kakitangannya di bangunan TelBru di Sumbiling, hari ini.

Majlis Rumah Terbuka TelBru, kelmarin, telah dihadiri kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada klien korporat, para pelanggan, vendor, pembekal dan pihak berkepentingan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Acara tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan atas sokongan mereka dalam pelbagai aktiviti-aktiviti TelBru.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Pelaburan), Kementerian Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah yang juga selaku Pengerusi TelBru, ahli-ahli lembaga pengarah syarikat dan para pengurus kanan.

Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay bersama beberapa tetamu undangan.
Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay bersama beberapa tetamu undangan.
Ketua Pegawai Pemasaran, Lim Ming Soon bergambar ramai bersama warga TelBru.
Ketua Pegawai Pemasaran, Lim Ming Soon bergambar ramai bersama warga TelBru.

Para jemputan disajikan pelbagai hidangan dan minuman serta dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan lagu-lagu serta muzik tradisi.

Sementara itu, majlis di bangunan TelBru, di Sumbiling, hari ini, telah dihadiri oleh lebih 900 kakitangan dari kesemua cawangan-cawangan TelBru di seluruh negara.

Hadir di majlis itu ialah ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat.

Para tetamu disajikan dengan pelbagai hidangan makanan dan minuman yang disediakan oleh kakitangan syarikat itu sendiri di pelbagai pondok yang dibuat dan dihiasi mengikut bahagian syarikat. Bahagian Teknologi telah dinobatkan sebagai pondok tercantik.

Acara tahunan itu adalah untuk memupuk kerjasama dan kerja berpasukan di antara kakitangan syarikat serta untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

ARTIKEL YANG SAMA