Aidilfitri wadah erat silaturahim

Aidilfitri wadah erat silaturahim

Oleh Yusrin Junaidi & Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Bekas pelajar Tingkatan 4C/5C Kolej Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) Kelas 1985/86 telah mengadakan Majlis Membaca Tahlil, Doa Kesyukuran dan Hari Raya Aidilfitri 1436H di Kampung Pandai Besi ‘B’, Kampong Ayer baru-baru ini.

Rombongan berhari raya ke Kampong Ayer itu telah diketuai oleh Awang Efnu bin Haji Rosman dan Awang Bahrin bin Haji Basri.

Majlis 3-dalam-1 di rumah rakan sekelas mereka iaitu Awang Sazeli bin Ahmad dan Halinah binti Haji Japar itu bermula dengan bacaan tahlil disusuli doa kesyukuran yang dipimpin dan dibacakan oleh rakan sekelas mereka, Pengiran Sahridin bin Pengiran Haji Emran.

Bacaan tahlil itu adalah khas buat rakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah iaitu Allahyarham Kasim bin Haji Abdul Wahab serta guru-guru yang pernah mengajar mereka sewaktu di Kolej SOAS dulu.

Manakala bacaan doa kesyukuran itu pula adalah sebagai merafakkan rasa syukur di atas nikmat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada Negara Brunei Darussalam yang aman damai berkat di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tetamu kehormat majlis bersama warga Jerudong Park and Country Club ketika meraikan sambutan Aidilfitri. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Tetamu kehormat majlis bersama warga Jerudong Park and Country Club ketika meraikan sambutan Aidilfitri. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
Bekas pelajar Kolej SOAS Kelas 1985-86 bergambar ramai bersama keluarga Awang Sazeli di Kampong Ayer. – Gambar oleh Hasrulraizan
Bekas pelajar Kolej SOAS Kelas 1985-86 bergambar ramai bersama keluarga Awang Sazeli di Kampong Ayer. – Gambar oleh Hasrulraizan

Rombongan kemudiannya mendirikan Solat Fardu Asar berjemaah yang telah diimamkan oleh Pengiran Sahridin.

Berhari raya ke Kampong Ayer itu menjadi pengalaman menceriakan buat rombongan berkenaan terutama sekali bagi anak-anak mereka yang jelas teruja kerana buat pertama kalinya merasakan suasana berhari raya di Kampong Ayer.

Ia merupakan kesinambungan kepada pertemuan semula bekas pelajar 4C/5C Kolej SOAS Kelas 1985/86 selepas tahun lalu berjaya mengadakan rombongan berhari raya ke rumah rakan-rakan sekelas mereka di Daerah Temburong.

Sebelum menyeberangi Sungai Brunei menyambut Hari Raya di Kampong Ayer, rombongan telah turut berkesempatan singgah ke rumah rakan mereka, Awang Salim bin Haji Puteh di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Rumah Kembar Kampung Rimba.

Ketua rombongan telah mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga Awang Salim dan Awang Sazeli kerana telah menyediakan juadah hari raya yang lazat terutama sekali juadah tradisi Brunei iaitu ambuyat.

“Semoga kita bertemu lagi di Ramadan dan Hari Lebaran akan datang,” tambahnya.

Sambutan Aidilfitri anak kapal Belait PSV1 tetap meriah walaupun tidak bersama ahli keluarga. – Gambar oleh Hasrulraizan
Sambutan Aidilfitri anak kapal Belait PSV1 tetap meriah walaupun tidak bersama ahli keluarga. – Gambar oleh Hasrulraizan

Sementara itu, seperti lazimnya, Jerudong Park and Country Club (JPCC) mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bagi pegawai dan kakitangan serta keluarga, di Amfiteater, Jerudong sebagai wadah untuk merapat serta mengeratkan lagi tali silaturahim sesama mereka.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Ahli Lembaga Pengarah JPCC, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Selain menikmati pelbagai juadah Hari Raya, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian oleh Decent Note; persembahan komedi oleh Tibadak Betunu dan persembahan daripada kakitangan JPCC dan Dinshe.

Namun dalam meraikan kegembiraan 1 Syawal terdapat juga sebilangan daripada kita yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara disebabkan komitmen kerja, tetapi ia bukanlah satu halangan bagi anak kapal Belait PSV1 yang beragama Islam untuk tidak meraikannya bersama-sama teman seperjuangan yang lain.

Walaupun bertugas di kapal mereka bersama kru warga India yang kebetulan bertugas di Champion 7 pada pagi Hari Raya Pertama berkenaan telah berkumpul beramai-ramai melaungkan takbir dan seterusnya mendirikan Solat Sunat Aidilfitri.

Selesai menunaikan solat berkenaan, mereka telah bersalam-salaman, bermaaf-maafan yang kemudiannya diteruskan dengan menikmati hidangan kuih-muih Hari Raya yang terhidang.

Dalam kesempatan bulan Syawal ini juga, para anak kapal Belait PSV1 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada ayahanda dan bonda serta isteri dan anak masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA