Aiman Tino bakal tunaikan umrah

HASRAT penyanyi Aiman Tino untuk menunaikan ibadah umrah bakal tercapai tidak lama lagi.

Aiman atau Mohammad Aiman Yusri, 19, berkata dia dan ibu-bapanya diberi kesempatan mengerjakan ibadah tersebut hujung bulan ini.

“Alhamdulillah, sudah lama saya berniat nak tunaikan umrah dan akhirnya impian saya ini tercapai. Lebih manis lagi, saya ke sana bersama ibu dan ayah, semoga urusan kami di tanah suci dipermudahkan,” katanya.

Aiman dan keluarga akan berangkat menunaikan ibadah umrah pada 25 November ini.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Ku Hanya Sayang Padamu ini turut melancarkan baju sekolah bawah jenamanya sendiri iaitu Aiman Junior.

Aiman Tino bakal menunaikan ibadah umrah bersama dengan ibu bapanya.

Aiman berkata, dia terfikir untuk menerokai bidang perniagaan dan memilih pakaian seragam sekolah sebagai permulaan.

“Cuti sekolah akan bermula tidak lama lagi. Jadi tak salah kalau kita guna peluang ini untuk menjual keperluan dan kelengkapan sekolah.

“Kalau tengok karakter saya yang masih remaja ini, sesuailah jual baju sekolah,” selorohnya.

Pakaian sekolah Aiman Junior boleh didapati di beberapa rangkaian pasaraya di seluruh Malaysia. Bercakap mengenai percalonan lagu Permata Cinta ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 32, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk layak ke Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32).

Aiman berkata, dia sudah memberikan persembahan terbaik dan terserah kepada juri untuk menilai lagu ciptaan ACK dan Apit itu.

“Saya tak letak harapan yang tinggi untuk ke AJL32. Kalau ada rezeki, adalah,” ujarnya. – Agensi