AIPA boleh jadi perantara tangani cabaran ASEAN

AIPA boleh jadi perantara tangani cabaran ASEAN

NAY PYI TAW, (Myanmar), 2 Okt – Ancaman ekstremisme dan keganasan yang menghantui Asia Tenggara perlu ditangani oleh Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata sudah tiba masanya AIPA menggesa kepada pembentukan polisi luar dan keselamatan bersama bagi menggalakkan siri kerjasama pelbagai dan dua hala antara negara di rantau ini.

AIPA boleh memainkan peranan sebagai pengantara, katanya yang mengetuai perwakilan Malaysia ketika menyampaikan ucapan pada perhimpunan agung AIPA di sini semalam.

Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama hari ini.

Ronald berkata dalam menghadapi cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional termasuk pelanunan, keganasan, gerakan pemisah, kebanjiran pendatang haram, perniagaan organ haram, penyeludupan manusia dan dadah, maka usaha AIPA perlu dilakukan secara bersepadu dan berterusan.

Dato Ronald Kiandee (dua kiri) bersama ahli parlimen ASEAN lain pada persidangan itu. –Bernama
Dato Ronald Kiandee (dua kiri) bersama ahli parlimen ASEAN lain pada persidangan itu. –Bernama

Beliau berkata AIPA boleh menjadi rakan yang lebih proaktif dan cergas bagi menghalang dan menangani sebarang risiko strategik yang kritikal.

“Kita sekarang perlu bertegas dan sebulat suara untuk berkata tidak. Kewujudan aktiviti sulit yang melibatkan individu tidak bertanggungjawab seperti pengganas dan penyeludup di rantau kita, memberi gambaran buruk kepada AIPA dan ASEAN.

“Kita dilihat sebagai bersikap acuh tak acuh berhubung soal menguatkuasakan langkah keselamatan. Oleh itu AIPA boleh membantu dalam menetapkan mekanisme semak dan seimbang bagi memutuskan rangkaian penyeludupan,” katanya.

Perhimpunan agung ke-37 itu bermula Khamis lalu hingga esok yang dirasmikan Penasihat Negara Myanmar, Daw Aung San Suu Kyi pada Jumaat.

Tema perhimpunan ialah Vibrant AIPA for a Progressive ASEAN Community.

Ronald berkata AIPA juga boleh memberi tekanan untuk mencari penyelesaian kepada isu rentas sempadan seperti krisis jerebu, pelarian dan penculikan bagi mendapat wang tebusan terutama di Laut Sulu.

Beliau berkata baru dua hari lalu, penjenayah bersenjata merompak dan menculik nelayan Malaysia dan jenayah ini berlaku dengan lebih kerap dan pelakunya menjadi semakin berani.Dalam hubungan ini, katanya mekanisme hubungan dua hala sedia ada antara negara ASEAN perlu diperkukuh dan diberi keutamaan dengan mengatasi kepentingan kebangsaan.

“Kita telah mendapat penghargaan dan pengiktirafan antarabangsa semasa Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN+ di Kuala Lumpur yang keputusan dicapai untuk bukan hanya mengeluarkan kenyataan bersama dengan bahasa yang berselindung mengenai ketegangan di Laut China Selatan, yang ini dilihat sebagai tanda kematangan.

“Kita secara umum menyedari bahawa terdapat cabaran bagi institusi antarabangsa untuk menyeimbangkan pengaruh luaran dan mengekal kestabilan serantau.

“Namun kita telah berupaya untuk meminimumkan dan mengatasi ketegangan politik menerusi ‘Cara ASEAN,” kata beliau. – Bernama