AIPA: Fokus kesepakatan tangani ancaman IS

AIPA: Fokus kesepakatan tangani ancaman IS

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Mesyuarat Jawatankuasa berkaitan Hal Ehwal Politik yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) hari ini menumpukan kepada kesepakatan negara anggotanya untuk terus menangani ancaman kumpulan militan IS.

Pengerusinya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kerjasama yang lebih erat antara 10 negara ASEAN penting bagi memastikan pengaruh dan ancaman kumpulan itu tidak menggugat kestabilan dan keamanan rantau ini.

“Saya melihat wujudnya kesepakatan mengenai tanggungjawab bersama ahli-ahli parlimen terhadap isu ini untuk memastikan bahawa elemen keganasan oleh IS harus dibendung sama sekali di semua peringkat.

“Ini secara tidak langsung akan menjadikan negara ASEAN kawasan yang bebas daripada pengganas, dan ini juga antara perkara yang berulang-ulang kali disebut oleh ahli parlimen semasa mesyuarat berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.

Beliau berkata mesyuarat itu turut membincangkan komitmen berterusan anggota AIPA dalam isu lain membabitkan keselamatan serantau seperti pengubahan wang haram dan pencerobohan kedaulatan negara.

Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata kesepakatan yang dicapai oleh kesemua delegasi sembilan negara itu akan dibincangkan pada sesi pleno kedua, Jumaat ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA