Air Berlin pindah armada

Air Berlin pindah armada

FRANKFURT, 5 Okt – Syarikat penerbangan Jerman, Air Berlin berkata hari ini ia akan membincangkan pemindahan sebahagian armadanya kepada kumpulan baru yang diasaskan oleh syarikat gergasi pakej pelancongan TUI dan penerbangan Teluk, Etihad sebagai sebahagian daripada rombakan besar-besaran.

Air Berlin akan membincangkan untuk membawa 35 daripada pesawat udaranya, termasuk 14 buah yang sudah disewa dari subsidiari TUI, TUIfly, ke dalam ‘kumpulan penerbangan baru yang akan diasaskan oleh kumpulan TUI dan Etihad’, menurut kenyataan tersebut.

Rancangan itu masih lagi tertakluk pada rundingan dan persetujuan pengawal atur, tambah kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, Etihad berkata “kumpulan penerbangan baru itu akan digunakan bagi rangkaian laluan komprehensif dari Jerman, Austria dan Switzerland’.

Gambar fail yang diambil pada 29 September 2016 menunjukkan pesawat udara dari syarikat penerbangan Jerman, Air Berlin berada di tarmak lapangan terbang Tegel di Berlin. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 29 September 2016 menunjukkan pesawat udara dari syarikat penerbangan Jerman, Air Berlin berada di tarmak lapangan terbang Tegel di Berlin. – AFP

Pemegang saham Air Berlin, Etihad telah bergelut untuk mengekalkan syarikat penerbangan itu dengan mengalirkan wang tunai beberapa tahun kebelakangan.

Syarikat Jerman itu mengalami kerugian besar sekitar 447 juta euro (AS$500 juta) pada tahun 2015.

Air Berlin seminggu yang lalu mengumumkan penstrukturan besar yang akan menyaksikan pengecutan armadanya dari 144 buah pesawat kepada 75 dan mengurangkan 1,200 jawatan, mengatakan ia akan memfokuskan pada perniagaan terasnya dalam bidaan untuk memulihkan keuntungan.

Pada masa hadapan, Air Berlin berkata ia akan menumpukan di hab-hab Berlin dan Duesseldorf, membina laluan perjalanan jauh dengan destinasi baru dan mengendalikan lebih banyak penerbangan, terutamanya ke Amerika Syarikat. – AFP