Air di venue Olimpik Rio didakwa tercemar

Air di venue Olimpik Rio didakwa tercemar

RIO DE JANEIRO, 4 Ogos (Agensi) – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) semalam mengarahkan ujian dijalankan terhadap air di setiap venue Sukan Olimpik Rio 2016 kerana didakwa tercemar akibat sisa kumbahan sehingga boleh menyebabkan virus.

Sebelum itu, IOC dan penganjur Sukan Olimpik Rio berkata, mereka hanya akan melakukan ujian untuk mengesan bakteria di dalam air di perairan rekreasi.

Namun, selepas agensi berita antarabangsa, Associated Press (AP) minggu lalu mendedahkan terdapat virus yang bersangkut paut dengan kumbahan manusia dalam air di venue Olimpik, IOC mengubah arahan mereka.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas mendapatkan nasihat daripada Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), yang mahu pemeriksaan dilakukan dengan lebih meluas.

“WHO telah mencadangkan satu ujian virus dilaksanakan. Kami sering menyatakan bahawa kami akan mematuhi nasihat pakar, jadi kami akan meminta pihak berkuasa berkenaan di Rio agar menerima pandangan tersebut untuk ujian dibuat.

“Kami perlu mengikut nasihat pakar,” kata Pengarah Perubatan IOC, Dr. Richard Budgett kepada AP.

Sabtu lalu, Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) menjadi organisasi pertama mendesak IOC agartidak sekadar melakukan ujian bakteria, malah menjalankan ujian bebas secara bersendirian bagi mengesan virus.

“Kami akan melantik seseorang yang boleh melakukan ujian itu untuk kami, bagi menyalurkan informasi yang kami perlukan dari sudut perspektif virus dan juga bakteria. Itu perancangan saya,” kata Ketua Eksekutif ISAF, Peter Sowrey.

Tindakan tersebut hadir selepas WHO memaklumkan kepada wartawan, Sabtu lalu bahawa IOC telah dinasihatkan supaya melakukan satu ujian.

ARTIKEL YANG SAMA