Air dicemari logam berat berbahaya ancam nyawa

Air dicemari logam berat berbahaya ancam nyawa

NAIROBI, 4 Mac (AFP) – Logam berat berbahaya yang digunakan dalam penghasilan minyak di Sudan Selatan telah meresapi sumber air minuman yang digunakan oleh 180,000 orang dengan risiko kesihatan yang mengancam nyawa, kata kumpulan hak hari ini.

Ujian toksikologi yang dijalankan ke atas sampel rambut daripada 96 anggota sukarelawan yang tinggal sekitar kilang pemprosesan minyak Thar Jath di rantau Unity utara Sudan Selatan mendedahkan mereka “amat dicemari dengan bahan pencemar seperti plumbum dan barium,” kata Klaus Stieglitz, daripada pertubuhan Sign of Hope di Jerman.

“Terdapat hubungan langsung di antara pencemaran penduduk dan aktiviti industri petroleum di kawasan ini,” kata beliau, menambah penyelidikan adalah berdasarkan ujian hidrologi enam tahun oleh kumpulan di rantau.

“Jumlah stres toksik – seperti yang ditemui dalam sampel rambut – penduduk kawasan adalah amat teruk,” kata Klaus-Dietrich Runow, daripada Institut Ubat Berfungsi dan Kesihatan Alam Sekitar Jerman, salah satu daripada dua ahli toksikologi bebas yang menilai sampel berkenaan.

Ujian sebelumnya telah menunjukkan ‘hubungan langsung’ di antara kegiatan mencari gali minyak dan pencemaran air minuman.

Meskipun jumlah kecil sampel yang dianalisis, ‘keseragaman’ keputusan mencadangkan mereka membabitkan ‘sebahagian besar’ penduduk, dianggarkan pada 180,000 orang.

“Timbulnya kebimbangan untuk kesan kesihatan di kawasan Koch, Leer dan Nyal,” kata Profesor Fritz Pragst, dari hospital Charite di Berlin.

Kawasan berkenaan, yang telah melihat beberapa pertempuran paling sengit dalam perang saudara lebih daripada dua tahun, bertukar tangan beberapa kali, terletak di sungai White Nile dan kawasan paya Sudd, salah satu tanah lembap terbesar di dunia.