Air, elektrik bernilai bagi jutaan rakyat Sepanyol

Air, elektrik bernilai bagi jutaan rakyat Sepanyol

BARCELONA – Pedro dan Mohamed menunggu bil utiliti mereka dengan penuh kebimbangan.

Demi mengurangkan wang yang mereka perlu bayar untuk utiliti, mereka menjalani kehidupan dalam kegelapan, tanpa pemanas, atau mandi hanya seminggu sekali, mangsa seperti berjuta-juta orang di Sepanyol yang kemiskinan tenaga.

Selama beberapa tahun persatuan-persatuan kebajikan telah memberi amaran mengenai situasi itu, tetapi kematian Rosa, 81, dalam satu kebakaran yang berpunca daripada sebatang lilin yang digunakannya untuk mendapatkan cahaya telah membawa isu itu ke depan.

Penggubal undang-undang sosialis, Pilar Lucio meminta kerajaan pemerintah konservatif untuk segera melaksanakan ‘perjanjian damai musim sejuk’ ke atas syarikat-syarikat yang memutuskan bekalan kuasa terhadap mereka yang tidak mampu membayar, satu langkah yang mendapat sokongan majoriti parlimen dan digalakkan daam Perintah Kesatuan Eropah (EU) 2009.

Pada tahun lepas, menurut Institut Statistik Negara Sepanyol, 10.6 peratus penduduk Sepanyol tidak mampu memberikan pemanasan sebaiknya terhadap rumah mereka, atau lebih daripada empat juta orang, berbanding hanya 5.9 peratus pada tahun 2008, ketika krisis ekonomi berlaku.

Apa yang dipersalahkan adalah krisis ekonomi dan kehilangan pekerjaan yang meluas disebabkannya, serta meningkatnya sebanyak 30-50 peratus dalam harga utiliti sejak tahun 2006.

Chairi berkata beliau sanggup menderitai kekurangan bahan bakar, tetapi kasihan melihatnya anak-anaknya menderita.
Chairi berkata beliau sanggup menderitai kekurangan bahan bakar, tetapi kasihan melihatnya anak-anaknya menderita.
 Mohamed Chairi dan anak lelakinya berusia dua tahun,Badder, menukar gas di rumah mereka di Badalona, Sepanyol. – AFP
Mohamed Chairi dan anak lelakinya berusia dua tahun,Badder, menukar gas di rumah mereka di Badalona, Sepanyol. – AFP
Tunjuk perasaan ke atas kematian seorang warga emas yang berusia 81 tahun, Rosa, dalam satu kebakaran. – AFP
Tunjuk perasaan ke atas kematian seorang warga emas yang berusia 81 tahun, Rosa, dalam satu kebakaran. – AFP

Barangan bernilai

Pedro Martinez, 48, telah berada dalam situasi ini selama beberapa tahun.

Tidak bekerja sejak tahun 2013, apabila syarikat perabot tempat beliau bekerja ditutup, kini beliau hanya bergantung pada pencen sebanyak 426 euro (AS$450) sebulan, dan lebihan wang pampasan yang diterimanya selepas dipecat.

Sudah bercerai, beliau tinggal bersama anak lelakinya yang berusia 20 tahun dan anak perempuannya, 23, yang mempunyai gangguan mental di daerah kelas bekerja Barcelona, tanpa pemanasan dan hanya menggunakan lampu elektrik bila benar-benar perlu.

“Ia musim sejuk yang sukar. Kami baru sahaja mempunyai pemanas elektrik, namun jarang digunakan kerana bimbang mengenai harga bil,” katanya.

“Kesejukan itu terasa hingga ke tulang. Kami memakai kot dan pada waktu malam kami menggunakan kesemua selimut yang kami ada.”

Tere Bermudez, jurucakap wanita bagi badan amal Caritas, berkata bahawa bagi sejumlah besar keluarga, air, lampu dan gas merupakan barangan bernilai. Beliau berkata sejak 2007 hingga 2015, pertubuhan itu telah membantu membayarkan utiliti sebahagian keluarga yang terjejas.

Salah seorang yang mendapat manfaat daripada pertubuhan itu ialah warga Maghribi berusia 37 tahun, Mohamed Chairi.

Tidak bekerja, keluarganya bergantung pada pendapatan bulanan sebanyak 250 euro daripada kerja isterinya sebagai pembersih serta bantuan dari badan-badan amal.

“Kami mandi sekali seminggu, pada hari Jumaat, agar kanak-kanak dalam keadaan bersih di hujung minggu,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Di sudut ruang tamu flat kecilnya di Badalona, berdekatan dengan Barcelona, anak lelakinya yang bongsu bermain dengan radiator elektrik yang sudah rosak.

Chairi baru sahaja menerima bil elektriknya, 24 euro bagi bulan tersebut, jumlah yang kecil bagi Sepanyol tetapi sangat besar bagi dirinya.

“Bayaran sewa sahaja 440 euro,” katanya.

“Jika saya terpaksa menderita kerana kelaparan atau hidup tanpa air atau elektrik, saya tidak kisah, tetapi anak-anak saya…”

Membakar kasut kanvas

Menurut Suruhanjaya Eropah, harga gas dan elektrik Sepanyol masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat tertinggi di EU pada tahun lepas.

“Kami berada di atas purata Eropah (dari segi kemiskinan bahan bakar) meskipun mempunyai cuaca yang lebih baik,” kata seorang jurucakap Persatuan Sains Alam Sekitar, Jose Luis Lopez.

Tidak ada undang-undang mengenainya di seluruh negara, tetapi beberapa buah kawasan telah melaksanakan beberapa langkah untuk cuba menangani isu itu.

Sebagai contohnya di kawasan utara Catalonia, satu undang-undang menetapkan bahawa syarikat-syarikat utiliti perlu memaklumkan perkhidmatan sosial sebelum memutuskan bekalan elektrik atau gas, dan jika keluarga atau seseorang itu bergelut untuk membayar diklasifikasikan sebagai terjejas teruk, syarikat dilarang daripada memutuskan bekalan.

Tetapi undang-undang tidak selalu dipatuhi, seperti kes Rosa, firma utiliti Gas Natural mengakui bahawa ia tidak menghubungi perkhidmatan sosial.

Lopez menganggarkan kira-kira 7,100 orang mati setiap tahun disebabkan kemiskinan bahan bakar.

Anggota bomba di Catalonia juga telah memberi amaran mengenai risiko-risiko keselamatan yang melibatkannya.

“Kami pernah terjumpa orang yang memanaskan diri mereka dengan api kecil, membakar surat-surat khabar atau malah membakar kasut kanvas,” kata jurucakap kesatuan, Antonio del Rio.

Sepanyol mungkin bangkit daripada krisis itu, tetapi sekurang-kurangnya 600,000 isi rumah menyaksikan bekalan elektrik rumah mereka diputuskan pada tahun lepas. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA