Air kosong minuman tanpa kalori

Air kosong minuman tanpa kalori

KUALA LUMPUR – Kita sering disarankan oleh doktor dan pakar pemakanan supaya minum air kosong secukupnya iaitu sekurang kurangnya enam hingga lapan gelas atau dalam 1.5 hingga dua liter air kosong sehari.

Tanpa bekalan air yang mencukupi, sistem badan tidak akan dapat berfungsi dengan baik dan secara optimum. Tubuh badan manusia sebenarnya terdiri daripada 70 peratus air dan boleh dikatakan keseluruhan sistem tubuh badan memerlukan air.

Air hilang dalam bentuk yang boleh diukur (seperti air kencing dan najis) dan tidak diukur seperti peluh, proses respirasi (seperti hembusan nafas). Jumlah air yang telah hilang inilah yang perlu digantikan setiap hari untuk membantu mengekalkan fungsi tubuh.

Air juga sangat penting bagi menyokong sistem lain seperti pembaharuan sel-sel badan, melancarkan aliran darah dan oksigen ke seluruh anggota badan, melancarkan pergerakan sendi dan lain-lain lagi.

Menurut penasihat pemakanan daripada DietFit Malaysia, Mariam Amira Ahmad Radi, bagi individu yang mempunyai penyakit seperti kegagalan jantung kongestif dan kegagalan buah pinggang, saranan pengambilan air sehari tidak sama dengan individu normal. Mereka perlu mendapatkan nasihat doktor akan jumlah air yang diperlukan.

Tinjauan mendapati beberapa pengunjung kedai makan memilih untuk minum air suam ketika menjamu makan tengahari untuk tujuan kesihatan. – Bernama
Tinjauan mendapati beberapa pengunjung kedai makan memilih untuk minum air suam ketika menjamu makan tengahari untuk tujuan kesihatan. – Bernama
Minuman air kosong terutama air suam dikatakan membawa kebaikan kepada kesihatan. – Bernama
Minuman air kosong terutama air suam dikatakan membawa kebaikan kepada kesihatan. – Bernama

Selain itu, air kosong sesuai diminum oleh individu yang ingin menurunkan berat badan. “Air kosong adalah minuman terbaik buat mereka yang ingin menurunkan berat badan kerana ia tidak mengandungi kalori. Jumlah pengambilan air kosong yang bersesuaian untuk diminum oleh individu yang ingin menurunkan berat badan adalah sama seperti saranan individu normal iaitu sebanyak enam hingga lapan gelas sehari,” jelas Mariam Amira.

“Pengambilan air kosong yang cukup adalah penting kerana apabila air kosong yang diminum mencukupi, pengambilan air manis dan berperisa akan berkurang. Secara tidak langsung, kalori dari air manis telah dikurangkan dari jumlah kalori yang dimakan sehari. Ini menjadikan proses penurunan berat badan menjadi lebih berkesan,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun DietFit Malaysia menyarankan pengambilan diet yang seimbang dan sihat juga sama penting dengan pengambilan air kosong, terutamanya buat individu yang ingin menurunkan berat badan.

Minum air kosong waktu malam

Menurut Mariam Amira, ramai juga yang memilih minum air kososng dalam jumlah yang banyak pada waktu malam. Ia tidaklah memudaratkan. Namun jika dalam jumlah air yang diminum pada waktu malam adalah banyak, kita perlu bangun pada waktu malam untuk ke tandas. Ini mungkin mengganggu kualiti tidur dan seterusnya mengganggu prestasi seharian.

“Pengambilan air kosong mestilah seimbang dengan jumlah air yang hilang. Cubalah untuk betulkan yang biasa dan biasakan yang betul kerana manfaatnya boleh dirasakan oleh diri sendiri,” sarannya.

Elok minum air bertapis

Ada pendapat yang mengatakan air kosong juga boleh memudaratkan jika diminum berlebihan. Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan VWA (M) Sdn Bhd, Dr Samantha Ng, keadaan yang sangat jarang berlaku itu digelar ‘mabuk air’. Ia berlaku terutamanya jika seseorang itu minum terlampau banyak air dalam masa yang singkat.

Seorang petugas memilih untuk membawa sendiri bekalan air minuman sendiri untuk tujuan kesihatan ke pejabat hari ini.
Antara kebaikan meminum air kosong terutama suam yang popular dalam kalangan pengamal perubatan tradisional Ayuverda ialah membantu melancarkan sistem pencernaan terutama jika diamalkan setiap pagi. – Bernama
Seorang petugas memilih untuk membawa sendiri bekalan air minuman sendiri untuk tujuan kesihatan ke pejabat hari ini.
Antara kebaikan meminum air kosong terutama suam yang popular dalam kalangan pengamal perubatan tradisional Ayuverda ialah membantu melancarkan sistem pencernaan terutama jika diamalkan setiap pagi. – Bernama

“Apabila terlampau banyak air diminum dalam tempoh yang singkat, maka bendalir badan dicairkan dan kandungan sodium di dalam badan juga turut hilang. Amat merbahaya sekiranya kandungan elektrolit bendalir badan kita terganggu,” jelas Ng.

Hari ini orang sering bercerita mengenai air yang ditapis adalah lebih baik daripada air yang dimasak. Menurut Ng, sungguhpun air yang diminum adalah air kosong tetapi ia boleh membawa masalah kepada tubuh manusia.

“Air yang diminum semestinya ditapis sebelum diminum. Walaupun air paip yang disalurkan kepada pengguna telah dirawat dengan klorin di loji air, banyak lagi unsur-unsur cemar yang terdapat di dalam air paip yang masih tertinggal dan boleh memudaratkan kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Karat, kuman, logam berat serta bakteria juga antara pencemaran yang turut sama keluar dari paip air yang dibekalkan ke rumah kita.

Panduan

Panduan Minum air Kosong oleh DietFit Malaysia:

  1. Bawa botol air kosong ke mana-mana sahaja, tidak kira ke tempat kerja atau semasa berjalan-jalan.
  2. Labelkan botol air kosong itu dengan waktu minum atau kata-kata semangat untuk memastikan anda terus minum air kosong yang mencukupi.
  3. Minum air terutamanya selepas anda ke tandas.
  4. Sekiranya anda tidak gemar akan rasa air kosong, tambahkan sedikit daun pudina, hirisan limau nipis atau lemon dan disejukkan semalaman. Ini boleh menambah rasa, tanpa menambah kalori pada air.
  5. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak minum air dengan jumlah yang banyak sekaligus (lebih dari satu liter air) kerana ini akan menyebabkan anda kerap buang air dan terhidrasi. Oleh itu, lebih baik jika waktu minum itu dijarakkan.
  6. Panduan ini juga boleh digunakan semasa bulan puasa, di mana anda seharusnya minum air yang cukup antara tempoh berbuka hingga ke sahur.
  7. Jika anda adalah seorang yang aktif bersenam, gantikan semula peluh yang keluar dengan air kosong sekurang-kurangnya dengan dua gelas air. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA