Air kotor punca pembesaran terbantut kanak-kanak India

Air kotor punca pembesaran terbantut kanak-kanak India

NEW DELHI, 26 Julai – India menjadi tempat tinggal kepada jumlah terbesar kanak-kanak terbantut di dunia disebabkan kekurangan tandas, air kotor dan kekurangan kebersihan, menurut satu kajian baru yang disiarkan hari ini.

Meskipun pertumbuhan ekonomi yang tinggi dalam beberapa tahun ini, India mempunyai kanak-kanak terbantut yang lebih tinggi berbanding Nigeria, Pakistan, China dan Republik Congo, dengan 48 juta di bawah umur lima tahun – kira-kira 30 peratus daripada jumlah global, kata laporan WaterAid.

Pembesaran terbantut adalah sejenis malnutrisi di mana kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang biasa untuk umur mereka dan sebahagiannya tidak dapat pulih seperti sedia kala selepas umur dua tahun.

Jika mereka hidup, mereka akan membesar lebih lemah dari segi fizikal dan intelektual berbanding rakan sebaya mereka.

WaterAid berkata kekurangan tandas dan air bersih menyebabkan jumlah pembesaran terbantut yang tinggi di India.

Ia disebabkan kadar pembuangan najis terbuka yang tinggi membawa kepada pencemaran yang boleh menyebar penyakit dan jangkitan.

Data yang dikumpul oleh WaterAid menunjukkan 140,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun akibat cirit-birit di India, sementara 76 juta tidak mempunyai kemudahan kepada air yang selamat dan 774 juta hidup tanpa sanitasi yang cukup.

“India mempunyai jumlah orang tertinggi di dunia yang mengamalkan pembuangan najis terbuka, yang menyebar penyakit dan menjadikan kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cirit-birit dan jangkitan lain,” kata Megan Wilson-Jones, penganalisis kesihatan dan kebersihan WaterAid. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA