Air paip dicemari bakteria, ratusan jatuh sakit

Air paip dicemari bakteria, ratusan jatuh sakit

WELLINGTON, New Zealand, 15 Ogos – Air paip yang dicemari telah menyebabkan beratus orang jatuh sakit di sebuah bandar kecil di North Island di New Zealand dan memaksa sekolah ditutup.

Pegawai kesihatan berkata hari ini dua orang pesakit berada dalam keadaan kritikal dan 19 orang lain masih berada di hospital tempatan selepas diuji positif dijangkiti bakteria campylobacter.

Anna Kirk, jurucakap untuk Lembaga Kesihatan Daerah Hawke’s Bay berkata kematian seorang wanita tua di sebuah rumah penjagaan juga sedang disiasat, walaupun masih tidak jelas sama ada dia dijangkiti penyakit tersebut.

Kirk berkata sekurang-kurangnya 200 orang telah menerima rawatan oleh doktor tempatan dalam beberapa hari ini dan pegawai menganggarkan 2,000 orang telah jatuh sakit.

Bakteria campylobacter biasanya di-sebar oleh najis haiwan. Pegawai berkata mereka tidak tahu bagaimana air bawah tanah yang membekalkan air ke bandar dicemari.

Satu wabak bakteria seperti di Havelock North adalah luar biasa di New Zealand, yang mempromosi imej yang bersih dan hijau kepada pelancong.

Perdana Menteri New Zealand John Key berkata hari ini keadaan tersebut tidak dapat diterima dan adalah jelas sejumlah besar bahan perlu memasuki bekalan air untuk menjadikannya dicemari.

“Pada asasnya, kami perlu memahami bagaimana ia berlaku,” kata Key.

Pegawai berkata mereka telah merawat air dengan klorin dan juga menggesa penduduk supaya memasak air dan mencuci tangan mereka. Bandar itu telah menghantar trak air bersih ke kawasan yang terjejas.

Gejala mereka yang telah menginges bakteria tersebut termasuk cirit-birit, muntah dan demam. Orang tua dan kanak-kanak mudah terdedah.

Lima sekolah tempatan memutuskan untuk menutup sekolah dalam tempoh dua hari akan datang, berkata kira-kira separuh daripada kanak-kanak serta ramai guru tidak sihat.

Kira-kira 13,000 orang tinggal di Havelock North, di sebuah rantau yang terkenal dengan ladang anggurnya. – AP