Air sampah dan baunya

Air sampah dan baunya

SAMPAH perlu dibuang dan dimusnahkan agar tidak menimbulkan berbagai-bagai masalah terutamanya, penyakit berjangkit dan menyakitkan mata memandang, serta menerbitkan bau yang tak enak yang boleh membiakkan tikus, nyamuk, dan lalat.

Saya amat terpanggil untuk menulis rencana pendek ini lantaran risiko sampah terlalu besar jika tidak dibuang dan dimusnahkan dengan secukup-cukupnya oleh individu mana sekalipun serta oleh pihak kerajaan.

Saya tidak tahu mulai tahun berapa pihak kerajaan menangani pembuangan sampah yang dimaksudkan. Sehidup-hidup saya di negara tercinta ini, telah wujud tempat pembuangan sampah di beberapa tempat tertentu serta disediakan pula kereta-kereta pemungut sampah khas yang pergi ke rumah-rumah dengan menyediakan tong-tong sampah, serta sentiasa mengingatkan rakyat agar membuang sampah di tempat-tempat yang telah disediakan di samping, tidak membuang sembarangan agar tidak menimbulkan berbagai-bagai masalah sampingan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, tempat pemusnahan sampah di Sungai Akar telah beroperasi mengikut perancangan pihak kerajaan menerusi Lembaga Bandaran. Sekunyung-kunyung itu, amanlah sedikit sebanyak masalah pembuangan sampah kerana ia dibina berjauhan dengan perkampungan awam.

Sungguhpun demikian, saya yang sering kali pada waktu pagi selepas pukul 6:00 melintasi kawasan dimaksudkan, acap kali tercium bau yang tidak menyedapkan hidung. Selain tercium bau semacam bau kacang kuda rebus, ia juga menimbulkan bau yang tidak terkatakan. Terlalu meloyakan. Ini berpunca daripada air lekit yang dilimbakkan oleh kereta-kereta sampah yang baru sahaja meninggalkan tempat pembuangan sampah itu untuk beroperasi seterusnya apabila menjelang subuh keesokan harinya.

Bau yang dilimbakkan oleh kereta sampah itu berpanjangan ke mana sahaja jentera itu menuju ke tempat perehatannya untuk bertugas seterusnya pada pagi esoknya. Justeru, bukan sahaja saya, bahkan juga pemandu-pemandu lain pun terpaksa mengelakkan tayar kereta masing-masing terkena air berbau hanyir itu.

Kalau terkena, ia akan terbawa ke destinasi saya dan pemandu lainnya. Bau hanyirnya itu boleh memburukkan kenyamanan suasana pagi. Meloyakan. Malah jika ada pemandu yang tanpa berfikir panjang untuk mengelakkan daripada terlanggar air kotor dan menjijikkan itu, besar kemungkinan ia akan boleh menyebabkan perlanggaran.

Jadinya, saya berharap semoga pihak berwajib akan bertindak terhadap air busuk yang keluar daripada sebelah belakang kereta sampah itu umpamanya, memastikan tempat atau lubang yang melimbakkan air meloyakan itu ditutup rapat supaya tidak langsung jatuh ke jalan raya apabila kereta dimaksudkan membuat putaran di pusing keliling besar itu yang hendak menuju ke Berakas, Bandar, dan Salambigar. Air busuknya itu akan terhidu berpanjangan hingga ke sekilometer lebih.

Sekian, demi kenyamanan bandarku makanya, saya menuliskan rencana pendek di ruangan ini agar masalahnya diambil tindakan oleh pihak Lembaga Bandaran. – Amasgold

ARTIKEL YANG SAMA