Air tebu beri tenaga

Air tebu beri tenaga

Oleh Abdul Rahim Ismail

 

RAHSIA dan kenikmatan perahan air tebu telah diketahui sejak turun-temurun oleh nenek moyang kita yang bijak menggunakannya untuk mengembalikan kesihatan tubuh badan, di samping sebagai halwa tekak untuk menghilangkan dahaga dan penat lelah bekerja di ladang.

Lebih daripada itu, sekiranya ada pengembara yang sesat di hutan ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, perahan air tebu segar sering diberikan sebagai minuman pertama yang mengembalikan tenaga dengan segera sebelum ia diberikan makanan lain.

Setidak-tidaknya, itulah yang dikongsikan oleh seorang pengusaha air tebu, Awang Jamil bin Jalak, 47, yang tidak menyangka tanaman tebu yang diusahakan di sekeliling rumah beliau sebagai senaman untuk ‘mengeluarkan peluh’ akhirnya menjadi sumber pendapatan sampingan yang agak lumayan bagi beliau sekeluarga.

Sebagai seorang bekas anggota Unit Kejuruteraan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Awang Jamil yang kini menetap di Kampung Bukit Panggal, Tutong bersama isteri beliau, Dayang Junainah binti Kassim, 41, serta enam orang anak mereka memanfaatkan tanah seluas setengah ekar di belakang rumahnya untuk menanam lebih 200 rumpun pokok tebu.

Ditemui di petak tanaman tebunya ketika sedang membuang daun-daun pada batang tebu yang sering menjadi sarang semut jika tidak dibersihkan, Awang Jamil berkata, beliau mula menanam pokok tebu itu sejak hampir dua tahun lalu.

Awang Jamil dan isterinya menunjukkan jenis Tebu Cina yang cukup matang untuk diperah airnya.
Awang Jamil dan isterinya menunjukkan jenis Tebu Cina yang cukup matang untuk diperah airnya.

Usaha yang pada mulanya dikerjakan hanya untuk menyihatkan badan lama-kelamaan menjadi satu perniagaan bagi beliau apabila jiran tetangga dan penduduk kampung yang telah merasai keenakan perahan air tebu segar yang dihasilkan mula membuat tempahan.

Kini air tebu beliau yang dijual segar dan tanpa dicampur ais dengan harga $2 sebotol semakin dikenali ramai dengan pesanan diterima bagi majlis sekampung seperti kenduri doa arwah dan kahwin, makan tahun dan majlis doa kesyukuran hinggalah pesanan bagi acara majlis di institusi pengajian tinggi dan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Menceritakan mengenai jenis tebu, atau ‘gelagah’, nama yang sering menjadi panggilan orang Brunei, cara memelihara tanaman dan pilihan batang tebu yang paling sesuai untuk diperah airnya, beliau berkata spesies tebu yang menjadi pilihan beliau untuk mendapatkan airnya ialah Tebu Cina.

Ini kerana spesies Tebu Cina mengeluarkan air berwarna hijau pekat dan berkilau. Beliau juga ada menanam lima spesies lain iaitu gelagah Cina berbatang besar, gelagah telur, gelagah madu, gelagah bersurat dan gelagah bersurat hitam.

“Batang tebu yang paling sesuai dipotong untuk perahan airnya adalah apabila ia mencapai kira-kira dua meter panjang lalu dipotong kepada ukuran lebih kecil kira-kira dua kaki panjang untuk mudah disarut kulitnya menggunakan pisau pengupas khas,” katanya.

Setelah disarut kulit, batang-batang tebu itu dicuci bagi menghilangkan habuk dan getah tebu yang keluar semasa batang tebu itu ditebang.

Menurut Awang Jamil, jika tidak dicuci dan dikeringkan dahulu batang tebu sebelum memerah airnya, maka kualiti air tebu itu akan terjejas seperti warna airnya akan kehitam-hitaman dan cepat bertukar rasa menjadi masam.

Pisau khas yang digunakan untuk mengupas kulit tebu.
Pisau khas yang digunakan untuk mengupas kulit tebu.
Tebu yang sudah dicantas dibuang kulit sebelum dicuci dan dimesin.
Tebu yang sudah dicantas dibuang kulit sebelum dicuci dan dimesin.
Dayang Junainah bersama anak perempuannya memerah air tebu.
Dayang Junainah bersama anak perempuannya memerah air tebu.

Awang Jamil turut menceritakan bagaimana beliau boleh tertarik untuk menanam tebu di belakang rumah itu, katanya, pokok tebu adalah antara tanaman yang paling mudah ditanam kerana ia tidak memerlukan keadaan dan jenis tanah yang tertentu.

Sebaliknya, pokok tebu boleh ditanam di atas kebanyakan permukaan tanah dan memerlukan hanya dua hingga kali pembajaan dalam setahun.

Ujarnya, proses penanaman pokok tebu bermula dengan menggali lubang dan menanam separuh batang tebu dan ditimbunkan dengan tanah sehinggalah tunas tebu mula tumbuh di atas batang yang ditanam tadi.

Apabila sudah kelihatan tunas-tunas mula keluar daripada batang tebu tadi barulah ditimbus semua batang tebu tadi bagi membolehkan semua tunas yang tumbuh itu terus membesar.

Beliau bagaimanapun mengingatkan proses paling penting dalam memelihara pokok tebu itu ialah supaya kerap membuang daun-daun tua kerana jika tidak dibuang batang tebu akan mudah rosak kerana dimakan semut dan ulat lain yang sering bersarang di celah-celah daun tua.

Ditanya sama ada beliau akan mengembangkan lagi usahanya itu, Awang Jamil berkata, bagi menambah lagi pengeluaran air tebunya, beliau yang kini hanya mempunyai sebuah mesin perahan air tebu menggunakan tenaga elektrik bercadang untuk membeli sebuah lagi mesin perahan air tebu menggunakan bahan bakar yang dapat menghasilkan perahan air tebu dengan lebih efisien lagi.

Mereka yang ingin menikmati air tebu dari Bukit Panggal boleh membuat tempahan dengan menghubungi Awang Jamil di talian 8876643 atau 8898314 atau pergi terus ke rumah beliau yang terletak di No.11, Simpang 93, Kampung Bukit Panggal, Tutong.