AirAsia buka pusat pelancongan dan perkhidmatan di Maldives

AirAsia buka pusat pelancongan dan perkhidmatan di Maldives

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) – AirAsia Bhd terus mengukuhkan kedudukannya di Maldives dengan pelancaran Pusat Pelancongan dan Perkhidmatan (ATSC) AirAsia yang pertama di ibu negaranya, Male susulan purata 85 peratus faktor muatan dicatatkan sejak pelancaran laluan pada Oktober lepas.

“Dengan lokasi utamanya di Male, ia merupakan kemudahan tambahan kepada penumpang yang tidak dapat menempah penerbangan AirAsia secara dalam talian,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar dalam kenyataan hari Ahad.

ATSC, dikendalikan oleh rakan kongsi tempatan AirAsia, All H Maldives Pte Ltd, akan bertindak sebagai pusat sehenti yang menawarkan perkhidmatan seperti tempahan penerbangan bagi semua rangkaian laluan AirAsia dan AirAsia X yang luas, selain hotel dan aktiviti pelancongan.

Pusat perkhidmatan itu juga bertindak sebagai satu lagi saluran tempahan yang mudah dan menampilkan kaedah pembayaran yang fleksibel kepada penumpang seperti tunai atau kad kredit, melengkapi perkhidmatan dalam talian yang popular ditawarkan di www.airasia.com.

“Laluan terus kami yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Male turut menunjukkan prestasi kukuh sejak kami memulakan operasi pada Oktober lepas, dengan purata faktor muatan 85 peratus bagi kedua-dua hala.

“Kami berbangga dapat menghubungkan semua penumpang kami dari seluruh rangkaian laluan luas kami yang meliputi lebih 100 destinasi ke Maldives melalui Kuala Lumpur, iaitu antara hab terbesar kami, selain hab transit bagi penumpang Fly-Thru kami,” kata Aireen.

ARTIKEL YANG SAMA