AirAsia Cargo dapat anugerah syarikat tambang rendah

AirAsia Cargo dapat anugerah syarikat tambang rendah

KUALA LUMPUR, 6 Okt – AirAsia Cargo telah dinamakan sebagai ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Tahun Ini’ untuk kedua-dua kategori ‘Pilihan Industri’ dan ‘Pilihan Pengguna’ pada Anugerah Payload Asia 2016 yang diadakan di Hong Kong baru-baru ini.

Bahagian kargo syarikat penerbangan itu menjadi pemenang bagi program anugerah tersebut melalui proses pengundian bebas yang mewakili pandangan serta pilihan para pengguna, rakan kongsi termasuk pembaca Payload Asia, dan pada masa yang sama dinilai oleh panel antarabangsa terpilih yang terdiri daripada pakar dalam pelbagai industri.

Ketua Kumpulan Kargo AirAsia, Kapten Chin Nyok San, berkata kemenangan yang disandarkan kepada pilihan pengguna dan pakar-pakar industri berkaitan membuktikan kecemerlangannya.

“Rangkaian penerbangan kami yang menyeluruh merentasi Asia dan Australasia merupakan kekuatan terbesar kami, tetapi apa yang benar-benar membezakan, adalah kakitangan kami yang berdedikasi dan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, serta dedikasi berterusan kami terhadap inovasi,” kata Chin dalam satu kenyataan hari ini.

Anugerah Payload Asia 2016 merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Payload Asia dan disokong oleh Logistics Insight Asia bagi meraikan syarikat rantaian bekalan kargo udara yang memberikan perkhidmatan terbaik dalam pasaran kargo global yang sangat mencabar.

Anugerah itu meliputi 10 kategori. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA