AirAsia gesa Bank Dunia biayai program penerbangan

AirAsia gesa Bank Dunia biayai program penerbangan

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama/Agensi) – AirAsia Bhd menggesa Bank Dunia mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai peranan pelancongan dan menyediakan dana untuk program yang menyokong pelancongan dan penerbangan.

AirAsia dalam kenyataannya kelmarin, berkata promosi pelancongan turut membantu mengurangkan kemiskinan dan menyegerakan pertumbuhan ekonomi.

Mengenai kedudukan serantau, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar menegaskan mengenai pentingnya Langit Terbuka ASEAN, Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN dan Komuniti Ekonomi ASEAN bagi meningkatkan industri perjalanan dan pelancongan serantau.

Beliau berkata demikian pada sesi pleno Forum Pelancongan World Bank Group 2015, bertema Memacu Pembangunan Menerusi Pelancongan, yang berlangsung di Washington DC pada 8 dan 9 Disember.

Forum itu menghimpunkan pemimpin-pemimpin global dan membuktikan pencapaian bagi mengenal pasti cara baru untuk menghasilkan pertumbuhan sambil menangani cabaran-cabaran dan peluang terhadap membangunkan sektor pelancongan dalam ekonomi yang sedang membangun.

Aireen Omar ketika menyertai sesi pleno Forum Pelancongan World Bank Group 2015 di Washington DC pada 8 dan 9 Disember.
Aireen Omar ketika menyertai sesi pleno Forum Pelancongan World Bank Group 2015 di Washington DC pada 8 dan 9 Disember.

Kehadiran AirAsia yang menjadi satu-satunya penerbangan yang diperkenalkan pada forum itu mengukuhkan lagi penerbangan itu sebagai ketua dalam industri penerbangan, dan membolehkan AirAsia untuk mempengaruhi perjalanan dan industri pelancongan di seluruh dunia.

Perhubungan serantau AirAsia dijadikan contoh mengenai bagaimana rantau ini dapat menyumbang kepada pembangunan, termasuk menyediakan perjalanan berpatutan kepada orang ramai, mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana selain merangsang pertumbuhan ekonomi.

Aireen Omar merupakan panel daripada sesi plenari pertama dengan Pengacara CNN & Koresponden Maggie Lake, yang membincangkan topik mengenai ‘Pelancongan Bagi Perkembangan’.

Panel-panel lain ketika sesi plenari tersebut adalah Naib Menteri bagi Pelancongan Colombia, Sandra Howard, dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Hilton Worldwide, Christopher J. Nasetta.

Antara perkara yang diketengahkan oleh Aireen ialah pentingnya perubahan minda untuk menjayakan pendekatan serantau dalam pembangunan pelancongan melepasi sempadan negara, selain perlunya kerajaan bekerja bersama-sama untuk mengharmonikan dan mewujudkan pertumbuhan lebih pesat untuk peserta pelancongan di rantau ini.

Perasmian forum berkenaan dihadiri oleh Presiden Kumpulan Bank Dunia, Dr Jim Yong Kim, begitu juga dengan menteri-menteri pelancongan serta pegawai-pegawai kementerian lain dari seluruh dunia, bersama dengan penjana industri pelancongan swasta terbaik.

ARTIKEL YANG SAMA