AirAsia guna A320neo mulai 2016

AirAsia guna A320neo mulai 2016

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) – AirAsia Group yang sudah membuat tempahan sebanyak 300 unit Airbus A320neo, akan mula menerima pesawat model terbaharu itu pada separuh kedua 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar, berkata pesawat yang akan menggantikan model sedia ada syarikat itu, turut menjadi antara usaha syarikat penerbangan tambang rendah itu memperluaskan perniagaannya di rantau ini.

Katanya, pesawat baharu yang dihantar secara berperingkat sehingga 2026, memiliki kelebihan termasuk menjimatkan penggunaan bahan api, pelepasan karbon lebih rendah serta penerbangan lebih lancar berbanding pesawat sedia ada.

“Kita mahu memastikan agar tidak menggunakan pesawat sudah terlalu lama yang menggunakan banyak bahan api,” katanya.

pg19_151130_a

Pesawat baharu A320neo itu adalah model yang dipertingkatkan daripada pilihan enjin pesawat Airbus sedia ada yang memiliki ciri-ciri termasuk penjimatan bahan api sebanyak 20 peratus bagi setiap kerusi dan menghasilkan bunyi lebih senyap.

Tempahan 300 pesawat itu adalah sebahagian daripada 475 pesawat dibeli AirAsia pada 2013 bagi menampung peningkatan permintaan, pengembangan perniagaan serta bagi membolehkan syarikat itu memasuki semula laluan ke Jepun.

“Kita akan terus menambah tempahan pesawat (pada masa depan), sejajar dengan pengembangan syarikat yang tidak hanya tertumpu di Malaysia tetapi juga di Thailand, Indonesia, Filipina, India serta diharapkan ke Jepun,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA