AirAsia komited bangun portfolio digital

KUALA LUMPUR, 12 Mac – AirAsia Bhd akan membangunkan portfolio digitalnya sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Tan Sri Tony Fernandes.

“AirAsia akan membuat satu lagi penjualan seperti yang dijanjikan. Akan ada penjualan dan pembelian balik satu aset untuk membangunkan portfolio digital kami.”

“Laksanakan semua yang kami katakan. Kini tumpu kepada kumpulan dan struktur digital kami,” katanya dalam catatan di laman Twitter beliau hari ini.

Awal bulan ini, Fernandes mengesahkan kumpulan itu akan menjual aset bukan terasnya dan menumpukan kepada operasi teras.

Gambar fail menunjukkan Tan Sri Tony Fernandes. Menurutnya AirAsia akan membangunkan portfolio digital sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan. – AFP

Beliau dilaporkan sebagai berkata keuntungan kumpulan itu dijana daripada penjualan tiket penerbangan dan daripada pendapatan sampingan.

“Perniagaan pajakan bukan satu yang dinilai oleh penganalisis. Itulah sebabnya mengapa kami menjualnya,” kata Fernandes.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mengesahkan ia akan menjual pegangannya dalam laman tempahan pelancongan, Expedia dan penjualan itu dijangka selesai pada akhir tahun. – Bernama