AirAsia lancar penerbangan KL-Luang Prabang

AirAsia lancar penerbangan KL-Luang Prabang

GEORGE TOWN, 19 Sept – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd mengembangkan perkhidmatannya ke negara ASEAN dengan menambah Luang Prabang di Laos sebagai laluan penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur.

Ketua Komersil AirAsia, Spencer Lee berkata, Luang Prabang adalah pasaran sedang membangun yang berpotensi tinggi dan syarikat penerbangan itu akan melancarkan tempahan untuk penerbangan terus Kuala Lumpur-Luang Prabang esok.

“Kami gembira akan menghubungkan Luang Prabang yang pesat membangun dan penerbangan sulung dari Kuala Lumpur akan bermula pada 21 November,” katanya pada sidang akhbar sempena Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2016 di sini hari ini.

Lee berkata, AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan pertama dan tunggal dari Malaysia untuk mengadakan perkhidmatan ke Luang Prabang dan ini menunjukkan komitmen kumpulan dalam mengukuh rangkaiannya, terutama di rantau ini.

Ia akan menjadi bandar raya kedua di Laos selepas Vientiane di mana AirAsia mempunyai penerbangan terus dan ia akan mempunyai empat penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Luang Prabang.

AirAsia Bhd mengembangkan perkhidmatannya ke negara ASEAN dengan menambah Luang Prabang di Laos sebagai laluan penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur. – Bernama
AirAsia Bhd mengembangkan perkhidmatannya ke negara ASEAN dengan menambah Luang Prabang di Laos sebagai laluan penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur. – Bernama

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan kadar tambang prapelancaran untuk penerbangan itu manakala tempahan dibuka esok.

Lee berkata, AirAsia dan AirAsia X menawarkan diskaun 20 peratus untuk semua penerbangan ke lebih 100 destinasi semasa Pesta MATTA.

Sebelum itu, Setiausaha Agung MATTA, Nigel Wong berkata, pesta itu akan kembali diadakan di Pulau Pinang selepas tiga tahun dan ia berlangsung di Pusat Konvensyen Straits Quay pada 23 hingga 25 September ini.

“Mempunyai 118 gerai daripada 41 agensi, pesta itu akan memaparkan tawaran pakej pengembaraan domestik dan antarabangsa menarik,” katanya.

Menurutnya, walaupun berlaku ketidaktentuan dalam ekonomi global, keseluruhan industri pengembaraan masih sangat sihat dan pengembaraan domestic telah meningkat sedikit baru-baru ini berikutan penyusutan ringgit.

Wong berkata, beliau yakin pesta tiga hari itu akan menarik lebih 15,000 pengunjung dan pembeli juga berpeluang memenangi beberapa hadiah seperti tiket penerbangan pergi balik dari AirAsia dan Cebu Pacific Airlines serta pakej pelancongan Taipei. – Bernama