AirAsia mahu jadi ‘Walmart di angkasa’

AirAsia mahu jadi ‘Walmart di angkasa’

PUTRAJAYA, 19 Ogos – AirAsia, syarikat penerbangan yang terkenal dengan sering melakukan sesuatu yang inovatif, berminat untuk menjadikan dirinya sebagai ‘Walmart di angkasa’, langkah yang akan meningkatkan pendapatan sampingannya bagi menjadi penyumbang utama kepada hasil syarikat tersebut.

“Kami adalah ‘Walmart di angkasa’, kami hanya kebetulan berada di paras 35,000 kaki dari atas bumi,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

Walmart, syarikat terbesar dunia dari segi hasil, adalah syarikat runcit multinasional Amerika yang mengendalikan rantaian pasar raya besar, gedung membeli belah diskaun dan kedai runcit.

“Kalau anda boleh berjalan masuk ke 7-eleven di darat, tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh menjadi syarikat pengguna di awan biru. Menjual barangan bebas cukai, makanan, tukaran asing dan insurans,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun, usaha untuk meningkatkan pendapatan sampingan itu bukan suatu yang baharu, ia sedang dilakukan sekali sekala sekarang, kata Fernandes.

“Sekarang ini, keuntungan daripada perkhidmatan sampingan hampir menyamai keuntungan daripada penerbangan kami. Kami mencatatkan perniagaan penerbangan yang sangat kukuh yang menjana kira-kira 15 peratus margin, dan perniagaan pendapatan sampingan yang sangat kukuh yang menjana margin jauh lebih besar,” katanya.

Ini adalah perkara yang akan memacu perniagaan lebih tinggi, di samping AirAsia meneruskan usaha untuk mewujudkan laluan baharu dan meningkatkan kekerapan.

“Sekarang ini pendapatan sampingan membentuk 23 peratus daripada hasil kami, tetapi hampir 50 peratus daripada keuntungan kami,” katanya.

Ditanya mengenai pegangan saham AirAsia India, Fernandes berkata ia masih berjalan dengan lancar.

AirAsia India mula beroperasi pada Jun 2014 menerusi usaha sama antara AirAsia Bhd, Tata Sons dan ahli perniagaan Arun Bhatia menerusi Telestra Tradeplace, masing-masing dengan pegangan saham 41.06 peratus, 49 peratus dan 9.94 peratus.

Kini, AirAsia Bhd memegang 49 peratus pegangan dalam AirAsia India, manakala Tata Sons dan eksekutif-eksekutifnya memegang baki 51 peratus.

“Amar Abrol (Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India) merancang apa yang akan kami lakukan dalam tempoh 15-16 bulan akan datang. Kami ada enam pesawat sekarang dan kami berharap dapat meningkatkannya kepada 10,” ujarnya ketika mengulas mengenai pelan pengembangan tersebut.

AirAsia India baru-baru ini mengumumkan pesawat ketujuhnya akan menyertai operasi pada bulan depan, yang menandakan bermulanya fasa pertumbuhannya di India.

“Meskipun pesaing kami menghabiskan banyak masa menyaman kami, mereka tidak sedar yang mereka sebenarnya memberikan kami publisiti percuma. Dan jadi, kami adalah jenama besar di India. Mereka membantu saya menjimatkan banyak wang,” katanya.

India memerlukan lebih banyak pelancong dan kemudahan hubungan dengan penduduknya yang berjumlah 1.25 bilion, dan ia adalah pasaran dengan peluang yang amat besar bagi AirAsia India, katanya.

Mengenai jerayawara AirAsia yang berlangsung selama 15 hari, beliau berkata ia menerima sambutan baik daripada pelabur kerana mereka dapat melihat bagaimana syarikat penerbangan itu tidak dinilai sepenuhnya.

“Harga saham kami jelas mempunyai prestasi yang baik. Saham kami kini berada pada kira-kira RM3. Kami turun pada 78 sen. Orang sudah mula melihat nilai kami,” katanya.

Pada 12.30 tengah hari, harga saham AirAsia naik dua sen kepada RM3.27. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA