AirAsia mungkin jalin lagi usaha sama di ASEAN

AirAsia mungkin jalin lagi usaha sama di ASEAN

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) – AirAsia Bhd tidak menolak kemungkinan menjalin usaha sama (JV) di ASEAN. “JV baharu dalam pertimbangan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan semasa ditanya mengenai pelan peluasannya di ASEAN.

ASEAN dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

AirAsia kini menjalin beberapa JV di ASEAN – Thai AirAsia, Philippines AirAsia, AirAsiaZest dan Indonesia AirAsia.

Namun, Fernandes tidak mendedahkan negara yang beliau kenal pasti untuk kemungkinan usaha sama seterusnya, namun berkata langkah itu akan memperkukuh rangkaian AirAsia di ASEAN.

“Kami juga memberi tumpuan ke atas produk ‘terbang lalu’ (di ASEAN), yang menghubungkan tetamu jarak jauh kami ke dalam rangkaian jarak dekat,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.

Tan Sri Tony Fernandes.
Tan Sri Tony Fernandes.

Untuk masa depan, beliau yakin kerajaan di rantau ini wajar memansuhkan halangan yang melindungi, layan diri dan tidak adil – yang telah mengehadkan pertumbuhan dan menjejaskan insentif perniagaan.

“Bagi industri penerbangan ASEAN, halangan seperti itu menambah kos operasi dan mengekang pembangunan pasaran sebenar serantau.

“Ini termasuk negara anggota yang mengehadkan pemilikan ke atas syarikat penerbangan, tidak memperakui lesen penerbangan, kelulusan dan sijil syarikat penerbangan yang lain. Ini menjejaskan pergerakan bebas pekerja penerbangan dan mengekalkan standard berbeza untuk pelesenan, penyelenggaraan pesawat dan operasi pesawat,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat pakar yang mengingatkan supaya tidak memberi harapan yang tinggi menerusi pewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun, Fernandes berkata sudah pasti banyak minat terhadapnya.

“Namun perlu ada semangat politik yang kukuh untuk mendepani cabaran penyepaduan serantau serta mewujudkan AEC.

“Semangat politik ini perlu ada dalam kalangan kerajaan ASEAN, sektor swasta dan rakyat, yang akan meraih manfaat daripada penyatuan ASEAN. Sudah banyak yang dibincangkan dan kita perlu lebih banyak tindakan segera,” katanya.