AirAsia paling aktif pada dagangan pagi

AirAsia paling aktif pada dagangan pagi

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Saham syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd paling aktif pada sesi pagi selepas mencatatkan keputusan kewangan suku pertama yang memberangsangkan.

Pada pukul 11 pagi, saham AirAsia naik 20 sen kepada RM2.32 dengan 39.65 juta saham diniagakan.

Semasa memaklumkan kepada Bursa Malaysia semalam, AirAsia mengumumkan kenaikan hampir enam kali ganda dalam pendapatan kepada RM877.8 juta pada suku pertama daripada RM149.33 juta pada suku yang sama tahun lepas dipacu oleh harga bahan api yang rendah, tambang purata lebih tinggi, peningkatan jumlah penumpang dan pertambahan faktor muatan.

Ia berkata perolehan meningkat 31 peratus kepada RM1.7 bilion manakala harga bahan api purata susut 29 peratus kepada AS$56 setong daripada AS$79 setong setahun lalu.

Menurut syarikat penerbangan itu, perolehan lebih kukuh itu disokong oleh pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak 17 peratus dan tambang purata yang lebih tinggi sebanyak 11 peratus pada RM166 berbanding RM150 pada suku pertama tahun lepas.

pg19_160528_b

Faktor muatan tempat duduk meningkat 10 peratus kepada 85 peratus manakala pendapatan sambingan setiap penumpang naik lima peratus kepada RM50 berbanding tahun sebelumnya, katanya.

Mengenai masa depan, syarikat penerbangan itu menjangka permintaan kukuh berterusan pada suku kedua dengan faktor muatan purata naik kepada 88 peratus disokong oleh pemulihan permintaan daripada pelancong China.

Syarikat penerbangan itu juga menjangka momentum akan kekal sepanjang tahun. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA