AirAsia-PBMT bangunkan komuniti produktif

AirAsia-PBMT bangunkan komuniti produktif

JAKARTA, 10 Ogos (Bernama) – Syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia, AirAsia Bhd dan satu daripada kumpulan kewangan mikro Syariah terbesar dunia, Perhimpunan BMT (PBMT) Indonesia hari ini memeterai perjanjian kerjasama untuk membangunkan komuniti miskin di republik itu kepada komuniti produktif.

Kedua-duanya berhasrat membangunkan komuniti produktif di mana golongan kurang bernasib baik akan terlibat dalam aktiviti produktif, membolehkan mereka menyara diri dan meningkatkan taraf hidup mereka dalam jangka panjang. Menurut Agensi Perangkaan Pusat Indonesia (BPS), setakat September 2014, 27.73 juta rakyat Indonesia atau 10.96 peratus penduduk negara itu hidup di bawah paras kemiskinan.

Oleh itu pembangunan komuniti produktif adalah penting bagi menangani masalah sosial seperti itu. Surat hasrat itu dimeterai di sini oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Aireen Omar, Pengarah Presiden AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko dan Presiden PBMT, Jularso dan disaksikan CEO Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, CEO Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengarah Presiden PBMT Ventura, Saat Suharto Amjad.

“AirAsia dan PBMT berkongsi nilai yang sama memberi harapan, merealisasikan impian serta mencipta peluang kepada setiap orang untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Kerjasama ini mengukuhkan komitmen kami untuk memupuk pembangunan sosioekonomi di Indonesia dan juga satu daripada cara kami menyumbang kembali kepada komuniti dalam pasaran yang kami berkhidmat,” kata Fernandes.

AirAsia hari ini menawarkan 200 laluan ke lebih 100 destinasi di 22 negara, manakala rangkaian PBMT mempunyai lebih 700 cawangan di seluruh Indonesia dengan lebih 2.2 juta anggota yang terdiri sebahagian besarnya perusahaan mikro dan kecil.

Hari ini, AirAsia mencatat satu lagi kejayaan penting dengan menerbangkan 300 juta penumpang. Pengarah seni berusia 30 tahun dari Jakarta, Jodie Lazuardie, menjadi penumpang bertuah yang menempah tempat duduk ke-300 juta AirAsia.

Tempahan penerbangan Lazuardie dari Kuala Lumpur ke Jakarta membolehkannya memperoleh pengalaman sekali seumur hidup serta tiga juta BIG Points daripada program kesetiaan AirAsia, yang juga dikenali sebagai AirAsia BIG.

ARTIKEL YANG SAMA