AirAsia ‘positif’ hasrat MAB

AirAsia ‘positif’ hasrat MAB

SEPANG, 3 Jun (Bernama) – AirAsia Bhd sedang melihat bidang-bidang kerjasama yang boleh dijalankan dengan Malaysia Airlines Bhd (MAB), kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata kedua-dua syarikat telah memulakan perbincangan namun ia masih pada peringkat awal.

Fernandes berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan CEO baharu MAB, Christoph Mueller semalam berhubung hasrat syarikat untuk bekerjasama dengan syarikat penerbangan tambang rendah dan rakan kongsi berpotensi lain.

“Dari segi pengurangan kos, adalah amat bagus kalau kita dapat membentuk satu kuasa serantau dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO)…memang munasabah.

“Pesawat kita perlu diselenggarakan dan mengapa tidak lakukannya di Malaysia dan lakukannya dengan MAB,” kata Fernandes dalam sidang media selepas mesyuarat agung tahunan AirAsia, di sini hari ini.

CEO AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes.
CEO AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata jika itu berlaku, kedua-dua syarikat akan dapat mengurangkan kos mereka dan paling penting, menerusi volum mereka kedua-dua syarikat dapat menawarkan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan pihak ketiga dari seluruh dunia dan menjadikan Malaysia sebagai pusat MRO yang besar, sekali gus menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Selain MRO, beliau berkata syarikat juga meneliti peluang kerjasama lain termasuk pengendalian bumi lapangan terbang, kargo dan lain-lain.’ Sementara itu, Fernandes menggesa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memanfaatkan teknologi bagi membantu mengurangkan kos dalam industri penerbangan.

“Lapangan terbang di luar Malaysia amat pantas dalam memanfaatkan teknologi serta membantu syarikat penerbangan mengurangkan kos dan mereka sangat proaktif dalam perkara ini,” katanya.

Lapangan terbang di Singapura, Thailand dan Indonesia katanya adalah jauh ke depan berbanding lapangan terbang di Malaysia sekarang.

“Lapangan terbang lain di rantau ini juga memberi tindak balas lebih cepat. Ini adalah pangkalan asal dan kami merupakan syarikat penerbangan tambang murah terbesar, justeru Malaysia harus menjadi peneraju utama dalam perjalanan tambang murah. Kami perlukan MAHB menjadi lebih proaktif dalam membantu kami,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA