AirAsia punyai pelan jangka panjang

AirAsia punyai pelan jangka panjang

SEPANG, 9 Mei (Bernama) – AirAsia Group mempunyai pelan jangka panjang untuk menubuhkan syarikat pegangan yang akan menggabungkan operasinya di ASEAN, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata langkah tersebut itu akan lebih menghubungkan 10 negara ASEAN dan menjadikan rantau berkenaan ‘lebih kecil’ pada masa depan.

“Ada kemungkinan besar bagi (penubuhan syarikat) gabungan ASEAN (AirAsia) atau pegangan ASEAN (AirAsia),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) AirAsia Bhd di sini, hari ini.

Fernandes berkata beliau telah berbincang mengenai hasrat itu dengan beberapa kerajaan negara ASEAN dan maklum balas yang diterima adalah menyakinkan.

“Bagaimanapun (pelan) ini (masih) di peringkat awal. Tiada jangka waktu kerana syarikat perlu membincangkannya dengan 10 kerajaan yang berbeza,” katanya.

ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Ketika ini, AirAsia Group merangkumi AirAsia Bhd (Malaysia), Thai AirAsia Co. Ltd, PT Indonesia AirAsia, Philippines AirAsia Inc, AirAsia X Bhd (Malaysia), Thai AirAsia X Co. Ltd dan AirAsia (India) Ltd.

Mengenai laluan dan destinasi, Fernandes berkata syarikat itu merancang untuk mengembangkan operasinya di India bagi mencapai kedudukan AirAsia seperti di China.

“Selain itu masih terdapat rancangan yang belum diselesaikan di Filipina dan Indonesia selain rancangan kami untuk mengembangkan operasi di Jepun,” katanya.

Terdahulu semasa EGM itu, pemegang saham syarikat sebulat suara meluluskan cadangan untuk Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Datuk Kamarudin Meranun menambah kepentingan mereka dalam syarikat kepada masing-masing 32 peratus daripada 19 peratus ketika ini.