AirAsia raih dua anugerah di World Travel Awards

AirAsia raih dua anugerah di World Travel Awards

KUALA LUMPUR, 18 Okt – AirAsia sekali lagi dinobatkan sebagai ‘Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia’ bagi kali keempat di World Travel Awards (Asia & Australasia) yang berlangsung di Da Nang, Vietnam pada Sabtu lalu.

Selain anugerah itu, AirAsia turut julung-julung kalinya telah menerima anugerah ‘Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terkemuka Asia’ pada acara yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata kejayaan tersebut menandakan perkhidmatan syarikat itu bukan hanya terbaik dalam kelasnya, malah turut cemerlang dalam kelas tambang rendah dan perkhidmatan penuh.

“Kami hanya baru bermula. Kami sedang mengusahakan lebih banyak lagi idea yang inovatif untuk menjadikan perkhidmatan dalam semua penerbangan kami lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, World Travel Awards (Asia & Australasia) bertujuan mengiktiraf, memberi anugerah serta meraikan kecemerlangan semua sektor dalam industri pengembaraan dan pelancongan di Asia Pasifik.

“Anugerah-anugerah itu dipilih oleh beribu-ribu profesional pengembaraan dan pengguna pelancongan mewah,” menurutnya.

Selain itu, syarikat penerbangan berkenaan dinilai berdasarkan kepuasan pelanggan dan kualiti perkhidmatan, prestasi perniagaan keseluruhan, inovasi produk serta pembangunan dan hubungan kakitangan.

Menurut kenyataan itu lagi, penilaian tersebut turut dibuat dari aspek tanggungjawab sosial korporat dan sumbangan kepada masyarakat setempat, komitmen terhadap dasar lestari, serta memenuhi visi korporat jangka panjang. – Bernama