AirAsia rancang IPO ASEAN Holding Co

AirAsia rancang IPO ASEAN Holding Co

KUALA LUMPUR, 25 Nov – AirAsia Bhd merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) ASEAN Holding Co, yang akan terdiri daripada semua operasi di rantau ini, setelah syarikat penerbangan tambang murah itu berhasrat mendapatkan asas pelabur lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes memberitahu CNBC, ramai berminat terhadap saham syarikat dan usaha ke arah pelaksanaan IPO telah bermula.

Beliau berkata penyenaraian ASEAN Holding Co akan mewujudkan jentera ekonomi tunggal yang akan membolehkan penganalisis dan pelabur melihat kumpulan secara keseluruhan dan bukan hanya operasi Malaysia dengan syarikat sekutu sahaja.

Bagaimanapun, beliau berkata rancangannya ialah untuk menyenaraikan AirAsia Indonesia dan AirAsia Philippines dahulu pada separuh pertama tahun depan sebelum meneliti untuk menyenaraikan ASEAN Holding Co.

“Ini bermakna semua sekutu ASEAN AirAsia akan disenaraikan. Barulah kami akan mengambil langkah seterusnya dan mewujudkan ASEAN Holding Co dan membolehkan kami menjadi sebuah jentera ekonomi,” kata Fernandes kepada saluran berita itu awal hari ini.

Beliau berkata banyak peraturan yang perlu diteliti.

“Banyak halangan kawal selia tetapi anda tahu kami selalu yang pertama dalam  mencuba sesuatu dan respons awal yang kami dapat daripada pemimpin dan pengawal selia adalah positif,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA