AirAsia rancang sedia tablet kepada juruterbang

AirAsia rancang sedia tablet kepada juruterbang

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd merancang untuk menyediakan tablet Microsoft Surface kepada semua juruterbangnya di Malaysia untuk memantau mereka dengan lebih berkesan.

Ketua Operasi Penerbangan (Kejuruteraan) AirAsia Tommy Saputro berkata kumpulan itu dalam proses mengalihkan pemantauan dari pesawat kepada juruterbang yang akan membolehkannya mempunyai maklumat mengenai siapa yang mengendalikan pesawat secara langsung.

“Kami sentiasa mencuba inovasi baru dan bagaimana untuk meningkatkan tugas juruterbang kami dan membawa inovasi untuk mengoptimumkan operasi dan kecekapan kami,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Saputro berkata dengan tablet berkenaan, kumpulan boleh meningkatkan keseluruhan kecekapan dan memastikan standard tertinggi dalam prosedur keselamatan dan operasi.

“Tablet ini dipilih kerana fleksibiliti, keupayaan menyesuaikan diri dan keserasian dengan sistem mereka,” katanya.

Saputro menambah lagi selepas melengkapkan juruterbang di Malaysia dengan peranti ini, AirAsia akan memperluaskannya kepada operasi di negara lain seperti India dan Filipina.

Tablet Microsoft Surface ini juga digunakan oleh syarikat penerbangan lain termasuk Delta Air Lines, Lufthansa dan Emirates. – Bernama