AirAsia salur perusahaan sosial RM2j

AirAsia salur perusahaan sosial RM2j

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) – Kumpulan AirAsia memperuntukkan RM2 juta setahun kepada Yayasan AirAsia bagi menyokong perusahaan sosial di negara ASEAN melalui geran dan bimbingan perniagaan.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, yayasan itu kini mengendalikan 10 projek di enam negara iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

“Setakat ini kami sudah mengagihkan kira-kira US$300,000 dalam tempoh dua setengah tahun untuk projek terbabit.

“Pendekatan pembiayaan kami berbeza sedikit daripada yang lain kerana kami tidak menetapkan jumlah bagi setiap projek, tetapi bergantung kepada daya maju pelan perniagaan bagi setiap perusahaan,” katanya kepada pemberita pada majlis perusahaan sosial awam pertama kumpulan itu, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, dana yang tersedia di bawah yayasan itu terlalu kecil untuk membantu bilangan perusahaan yang banyak.

ARTIKEL YANG SAMA