AirAsia sangkal tuduhan GMT Research

AirAsia sangkal tuduhan GMT Research

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) – Jawatankuasa Audit AirAsia Bhd (AAB) menyangkal tuduhan penyelewengan tadbir urus korporat dan gimik perakaunan yang dibuat oleh GMT Research Ltd, sebuah firma berpangkalan di United Kingdom.

Perhatian khusus Jawatankuasa Audit ialah tuduhan perakaunan salah bagi syarikat-syarikat sekutu dan juruaudit AAB PricewaterhouseCoopers (PWC) telah dipengaruhi. Pengerusi Jawatankuasa Auditnya V Uthaya Kumar dalam satu kenyataan hari ini berkata: “Kami, Jawatankuasa Audit, tidak akan mengulas mengenai analisis perniagaan AAB.

“Cukup hanya untuk menambah bahawa GMT, tidak akan dapat menjalankan analisis perniagaan seumpama itu, jika terdapat pendedahan tidak mencukupi dalam penyata kewangan suku tahunan dan diaudit AAB.”

Kumar juga berkata AAB berpendapat jelas bahawa ia harus menyatukan syarikat-syarikat sekutunya.

Beliau berkata kumpulan itu mempunyai masa sekurang-kurangnya lebih 12 bulan, bagi mengadakan siri mesyuarat dengan PwC, penasihat guaman, pengurusan syarikat sekutu dan pengawal selia penerbangan, untuk melaksanakan penyatuan syarikat-syarikat sekutu.

Jawatankuasa Audit itu juga memberikan maklum balas terperinci menjawab tuduhan yang dibangkitkan oleh GMT berkaitan dengan AAB dan proses perakaunannya.

ARTIKEL YANG SAMA