Airasia sasar Langkawi sebagai hab antarabangsa

Airasia sasar Langkawi sebagai hab antarabangsa

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) – AirAsia merancang untuk menjadikan Langkawi sebagai hab antarabangsanya bagi rantau ini menjelang hujung tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aireen Omar.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk meneliti bagaimana kami boleh membangunkan Langkawi sebagai hab antarabangsa rantau,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan stesen monorel AirAsia-Bukit Bintang, di sini hari ini. Aireen berkata syarikat penerbangan itu akan mengadakan sidang media bersama CEO AirAsia X Benyamin Ismail dalam masa terdekat bagi mengumumkan perancangan syarikat bagi Langkawi selain mengumumkan destinasi baharu.

Program ‘Hak Menamakan Stesen’ yang dijalankan oleh Prasarana bagi stesen monorel itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan menawarkan peluang kepada syarikat untuk mengubah stesen bagi mencerminkan jenama identiti korporat dan menamakannya mengikut nama syarikat.