AirAsia tawar hiburan dalam penerbangan percuma

AirAsia tawar hiburan dalam penerbangan percuma

pg19_160811_a

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – AirAsia menawarkan hiburan dalam penerbangan percuma menerusi portal roKKi, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan perkhidmatan roKKi Wi-Fi yang dilancarkan pada 2014.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata perkhidmatan tersebut tersedia bagi penerbangan terpilih AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) di portal roKKi menerusi www.rokki.com, yang sekarang ini ditawarkan di 33 pesawat.

AirAsia berkata kandungannya termasuklah perjalanan yang dipilih susun, video fesyen dan sukan yang dihasilkan AirAsia, serta kandungan daripada Astro Shaw seperti filem pecah panggung tempatan termasuk Ola Bola, Polis Evo, Maindhan dan The Journey.

Filem aksi tempatan ‘Temuan Takdir’ juga akan ditayangkan buat pertama kali dalam penerbangan terpilih selama tiga hari bermula 8-10 Ogos, menjadikannya

filem Malaysia pertama ditayangkan dalam penerbangan sebelum tayangan perdananya di panggung wayang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar berkata hubungan internet adalah satu keperluan dan syarikat penerbangan itu gembira dapat menyediakan roKKi Wi-Fi kepada semua penumpang dan berkongsi peningkatan itu di platform roKKi.

“Kini, pelanggan kami dapat menikmati hiburan percuma di peranti mereka sendiri semasa dalam penerbangan dengan pelbagai kandungan tempatan dan antarabangsa disediakan kepada semua orang.

“Kami mengalu-alukan pelanggan kami menaiki penerbangan kami yang disediakan dengan kemudahan platform roKKi, dan berharap mereka akan memanfaatkan hiburan dalam penerbangan percuma ini, selain menggunakan roKKi Chats dan pelan Internet yang ditawarkan pada harga berpatutan,” kata Aireen.

Pelan AirAsia roKKi Wi-Fi termasuk Pelan Chats dengan hanya RM9 bagi 3MB (aplikasi WhatsApp, WeChat, LINE, KakaoTalk & Viber) dan Pelan Internet dengan hanya RM18 bagi 10MB (bagi pengguna Internet ringan, tidak termasuk YouTube dan muat turun app store), kata syarikat penerbangan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA